USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PETUGAS BARISAN HADAPAN KAMPUS KESIHATAN USM BERSEDIA TERIMA SUNTIKAN AWAL VAKSIN COVID-19 FASA PERTAMA 1 MAC INI

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 26 Februari 2021 – Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) telah tersenarai antara salah satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan dan akan memulakan operasi suntikan vaksin COVID-19 mulai 1 Mac 2021.

WhatsApp_Image_2021-03-01_at_13.18.21.jpeg

Selaras dengan perancangan peringkat negara oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Fasa Pertama suntikan di PPV Hospital USM adalah kepada petugas barisan hadapan serta warga Kampus Kesihatan yang telah dikenal pasti dan menyatakan persetujuan untuk menerima suntikan menerusi tinjauan yang dibuat baru-baru ini.

Dijangka seramai 300 staf petugas barisan hadapan akan divaksinasi pada hari pertama iaitu 1 Mac 2021. 

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kampus Kesihatan untuk seluruh warganya pada 25 Februari 2021, Pengarah Kampus Kesihatan yang juga Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim berkata, bagi lebih 4,000 warga Kampus Kesihatan yang telah bersetuju menerima suntikan di Fasa Pertama ini, mereka akan dihubungi oleh pihak KKM menerusi aplikasi MySejahtera berhubung dengan urusan penentuan tarikh serta notifikasi temujanji suntikan vaksin dalam tempoh tiga (3) hari daripada tarikh yang dijadualkan.

“Justeru itu, warga Kampus Kesihatan digesa untuk mengemaskini aplikasi MySejahtera ke versi yang terkini dan sentiasa menyemak notifikasi terkini daripada pihak KKM dari masa ke semasa,” ujarnya.

WhatsApp_Image_2021-03-01_at_07.26.17.jpeg

Turut dinyatakan ialah vaksinasi COVID-19 ini adalah secara pilihan dan sukarela tetapi sangat digalakkan bagi mencapai sasaran pembentukan imuniti kelompok atau “herd immunity”.

Bagi tujuan penyelarasan operasi PPV Hospital USM, Pengurusan telah menubuhkan Jawatankuasa Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan Peringkat Kampus Kesihatan yang dipengerusikan oleh Timbalan Pengarah (Operasi) Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof.

Anggota lain dalam Jawatankuasa ini termasuk Dr. Wan Mohd Nazri Wan Zainon (Ketua Perkhidmatan Pesakit Luar & Daycare, Hospital USM); Norita Abdul Hamid @ Jusoh (Ketua Pegawai Farmasi, Hospital USM); Wan Marina Wan Sulaiman (Penyelia Jururawat, Unit Kejururawatan, Hospital USM); Mohamad Nazri MustaphaPenolong Pegawai Perubatan, Unit Klinikal, Hospital USM) serta wakil-wakil PTJ yang terlibat termasuk Jabatan Keselamatan (JK), Jabatan Pembangunan & Pengurusan Aset (JPPA) dan Pusat Media & Perhubungan Awam (MPRC) Kampus Kesihatan.

Peranan serta tanggungjawab Jawatankuasa antaranya ialah:

  • Menyediakan semua maklumat yang diperlukan oleh pihak KKM bagi program vaksinasi ini termasuklah senarai nama semua petugas barisan hadapan Hospital USM serta Kampus Kesihatan (termasuk staf yang bersetuju dan tidak bersetuju menerima suntikan vaksin).
  • Menyediakan lokasi, peralatan serta fasiliti yang bersesuaian untuk program vaksinasi.
  • Menyediakan anggota terlatih dan kompeten untuk pengambilan stok vaksin di Pusat Simpanan Vaksin (PSV), memastikan keselamatan penyimpanan stok serta mengendalikan pengeluaran stok di PPV Hospital USM untuk kegunaan mengikut jadual.
  • Menubuhkan serta melatih pasukan petugas yang kompeten untuk mengendalikan program vaksinasi berdasarkan standard dan garis panduan yang ditetapkan oleh pihak KKM.
  • Menyempurnakan proses suntikan vaksin mengikut standard ditetapkan oleh KKM termasuk dos pertama dan kedua berdasarkan jadual serta perancangan.

Sebarang kemusykilan, bakal penerima suntikan boleh merujuk kepada bahagian Soalan Lazim (Frequently Asked Questions) di portal KKM menerusi pautan berikut:

Pengurusan berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana petugas barisan hadapan USM turut tersenarai dalam Fasa Pertama yang bakal menerima suntikan vaksin COVID-19.

Diharapkan ini akan menyuntik semangat warga kerja USM untuk lebih berdedikasi serta komited menjalankan peranan serta fungsi masing-masing, khususnya dalam usaha bersama untuk memerangi COVID-19.

Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan telah dilancarkan secara rasmi oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 24 Februari 2021, dan beliau turut menjadi rakyat Malaysia yang pertama menerima suntikan vaksin pada tarikh yang sama.

Menerusi tema ‘Lindung Diri, Lindung Semua’, kerajaan Malaysia mensasarkan 80% populasi rakyat negara ini menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi mencapai ‘herd immunity’ atau imuniti kelompok sebagai salah satu usaha mengembalikan kehidupan normal seperti sebelum pandemik.

#LindungDiriLindungSemua#KitaMestiMenang#KempenKesedaranCOVID19USM

Sumber: Hebahan Dalaman Kampus Kesihatan 25 Februari 2021 - “Program Vaksinasi COVID-19 Kebangsaan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital USM”

  • Created on .
  • Hits: 1044

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024