EKSESAIS PERPINDAHAN PELAJAR BERI LALUAN KEPADA PERSEDIAAN KEMASUKAN PELAJAR UNTUK SEMESTER DUA
USM PULAU PINANG, 25 Februari 2021 – Hampir 900 pelajar sedia ada yang menetap di pelbagai desasiswa di kampus Induk Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah dipindahkan ke Desasiswa Tekun untuk menetap di sana.
Eksesais pergerakan pelajar secara besar-besaran itu adalah untuk memberi laluan kepada proses persediaan desasiswa-desasiswa yang mereka diami selama ini untuk dijadikan pusat isolasi/pengasingan bagi menerima kemasukan pelajar-pelajar berkeperluan pada awal Mac ini.
Menurut Penggawa Desasiswa Tekun yang juga Timbalan Pendaftar di Pejabat Naib Canselor USM, Mohd Rashid Abdul Rejab, beliau bersyukur kerana seluruh proses perpindahan itu berjalan dengan lancar dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sebaik mungkin.
“Pihak universiti sedar dan memahami pergerakan terkini ini mungkin menyusahkan sesetengah pelajar kerana terpaksa berpindah ke desasiswa baharu sekali lagi, tetapi ia perlu dilakukan sebagai sebahagian daripada perancangan strategik universiti untuk mengoptimumkan penggunaan beberapa desasiswa sebagai zon isolasi/pengasingan bagi menempatkan pelajar yang akan kembali ke kampus tidak lama lagi, sebagaimana diperlukan oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Selain pihak pengurusan, Majlis Penghuni dan kakitangan Desasiswa Tekun, eksesais perpindahan itu turut mendapat bantuan dan kerjasama yang amat baik daripada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Dr. Aldrin Abdullah; Pusat Perumahan dan Penginapan Universiti (HAC); Majlis Penggawa Desasiswa; USM Response Team; Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Aset (JPPA); Jabatan Keselamatan; Pusat Sejahtera; Nerve Centre USM; Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) serta para sukarelawan staf dan pelajar,” katanya.
Pihak KPT menerusi kenyataan terkininya membenarkan enam kategori pelajar berkeperluan kembali ke kampus secara fizikal seawal 1 Mac 2021 bagi mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara hibrid (fizikal/bersemuka dan secara dalam talian).
Sehubungan itu, USM dijangka menerima kemasukan hampir 7,000 pelajar yang tergolong dalam kategori-kategori yang dimaksudkan itu bagi mengikuti semester 2 sidang akademik 2020/2021 yang akan bermula pada 22 Mac ini.
Pelajar akan kembali ke kampus secara berperingkat dengan kumpulan pertama akan masuk pada 4 Mac bagi memulakan tempoh isolasi/pengasingan selama 10 hari (sebelum sesi bersemuka bermula) di blok-blok desasiswa tertentu yang dikhaskan untuk tujuan tersebut.
Keberadaan kumpulan pelajar di dalam kampus untuk pembelajaran bersemuka adalah ditentukan oleh Pusat Pengajian/Pusat Kecemerlangan masing-masing berdasarkan kursus yang memerlukan pelaksanaan sesi bersemuka.
Ketika membuat perancangan, USM turut mengambil pendekatan untuk mengekalkan maksimum 50% kapasiti/keupayaan desasiswa dan dewan kuliah sebagai strategi untuk pematuhan SOP.
Semua pelajar yang bakal masuk ke kampus nanti perlu mengisi borang A (Kebenaran khas kembali ke kampus) dan juga borang Deklarasi Saringan Risiko COVID-19 yang boleh dicapai melalui portal pelajar iaitu https://campusonline.usm.my .
USM melalui Nerve Centre (bilik gerakan pengurusan krisis wabak COVID-19) di kampus induk dan pusat seumpama ini di kampus-kampus lain, sentiasa berusaha untuk mengekalkan kesemua kampusnya sebagai zon bebas COVID-19 (“green bubble”) demi keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya.
Teks: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 1073