USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SUMBANG 352 BUAH KOMPUTER RIBA BUAT PELAJAR ASNAF KATEGORI B40

laptop 1

PULAU PINANG, 22 Februari 2021 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memastikan kebajikan pelajar-pelajar asnaf berkategori B40 diberi perhatian sewajarnya apabila sejumlah 352 buah komputer riba disumbangkan kepada pelajar terbabit bagi memastikan mereka mampu meneruskan pengajian dengan kelengkapan pembelajaran yang sempurna.

Sumbangan komputer riba jenama ACER berspesifikasi tinggi ini merupakan antara peruntukan perbelanjaan yang tertinggi dikeluarkan oleh universiti buat pelajar B40 bagi memastikan mereka mudah mengikuti kaedah pembelajaran masa kini, terutamanya situasi pandemik COVID-19 yang memerlukan pengajian secara dalam talian.

Serahan komputer riba ini disempurnakan oleh Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan kepada kumpulan pertama seramai 38 orang pelajar B40 dari negeri Pulau Pinang, dan bakinya kemudian akan diserah kepada pelajar dari negeri-negeri lain selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Majlis ringkas serahan komputer riba ini diadakan di Dewan Utama Pelajar (DUP) A dengan mengambil kira pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan penjarakan fizikal sepanjang majlis, seterusnya para kenamaan, pegawai-pegawai utama universiti dan pelajar bersurai selepas penyempurnaan majlis tanpa ada aktiviti yang lain.

laptop 2

Ketika ditemui, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Dr. Aldrin Abdullah berkata, USM memperuntukkan sejumlah dana yang besar untuk pembelian komputer riba berspesifikasi tinggi ini sebagai salah satu usaha universiti untuk membantu pelajar yang serba kekurangan ini supaya mereka mampu mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pengajian mereka.

“Mereka yang terpilih ini sudah semestinya akan memperoleh pengalaman yang lebih mengujakan ketika pulang semula mengikuti pengajian mengikut norma baharu di kampus pada bulan Mac ini, dan sekiranya bantuan seperti ini tidak diberikan, sudah pasti mereka akan berdepan pelbagai kesukaran terutamanya membabitkan pembelajaran secara dalam talian,” kata Aldrin.

Beliau turut berharap melalui sumbangan yang diberikan, para pelajar B40 ini akan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh dan membuat yang terbaik sepanjang pengajian di USM, bercita-cita tinggi dan komited apatah lagi menggalas harapan keluarga untuk mencapai kejayaan.

laptop 3

Yang turut hadir di majlis penyerahan komputer riba tersebut adalah Timbalan Pendaftar Kanan Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, Mohamad Abdullah; Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri serta para pegawai utama BHEPA USM.

Dalam perkembangan lain, di majlis yang berbeza, USM juga bersama-sama Pusat Urus Zakat Pulau Pinang dan Lembaga Zakat negeri Kedah turut menyediakan sejumlah 100 buah komputer riba untuk diserahkan kepada pelajar-pelajar asnaf B40 yang layak menerima demi menjamin kelangsungan pembelajaran mereka sepanjang tempoh pengajian di USM.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa 

  • Created on .
  • Hits: 1320

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024