USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM LAHIRKAN PENYELIDIK USAHAWAN

DSC 0119

PULAU PINANG, 13 Mei 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) berhasrat untuk mewujudkan usahawan dalam kalangan penyelidiknya yang boleh diberi tanggungjawab dan keupayaan untuk bekerjasama dengan pihak industri bagi mengkomersialkan produk mereka.

Naib Canselornya, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, USM sedang meneroka kaedah atau model yang sesuai yang dapat merealisasikan keupayaan para pensyarah USM dengan melibatkan diri secara aktif dalam usaha pengkomersialan produk di samping menjalankan penyelidikan.

Katanya, antara langkah yang boleh diambil adalah dengan mengurangkan peraturan dan halangan yang boleh dilihat sebagai membantutkan usaha pengkomersialan, selain membenarkan pensyarah berurusan secara langsung dengan rakan industri.

``Hasrat ini jika berjaya dilaksanakan turut membolehkan ekosistem penyelidikan di universiti dapat dikembangkan dengan lebih meluas dan pihak universiti turut berupaya memberi kepercayaan kepada pensyarah yang berminat untuk meneroka peluang sebagai usahawan.

``Selain dapat mengupayan pensyarah, langkah ini turut diharap dapat menarik minat pihak industri untuk datang dan bekerjasama secara terus dengan pensyarah dan pihak universiti akan mebantu menyediakan prasarana dan kaedah pengkomersialan yang sesuai,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengumumkan kejayaan cemerlang USM dengan merangkul 13 Emas dan 2 Perak daripada 15 penyertaan di Pameran Reka Cipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke 24 (ITEX 2013) yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selain itu, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Prof. Hanafi Ismail turut diberikan Anugerah Khas,  yang mana produk beliau iaitu r-RubFoam-A Novel Solution for Global Oil Spills diiktiraf oleh Korea

usmitex

Omar menambah, rekod USM dalam bidang pembangunan penyelidikan turut menyaksikan sejak mendapat status sebagai sebuah universiti penyelidikan, USM kini telah memfailkan 380 paten terhadap produk-produk penyelidikannya yang mana 67 daripadanya telah pun berjaya mendapat paten.

Katanya, daripada jumlah itu juga, 63 produk telah melalui proses pengkomersialan dan 47 daripadanya berjaya dikomersialkan yang mana daripada jumlah itu, USM telah berjaya menjana pendapatan kira-kira RM 5 juta.

Mengulas perkara itu, Omar menegaskan, USM sentiasa berusaha untuk memastikan produk penyelidikannya sentiasa relevan dengan keperluan semua pihak termasuk masyarakat dan negara.

``USM akan terus berusaha untuk mengketengahkan produk-produk yang boleh dikomersilkan dan menyeru mereka yang berminat untuk tampil membantu untuk ke peringkat seterusnya.

``USM juga bersedia untuk melaksanakan model-model baru termasuk memanfaatkan apa yang dilakukan dalam kalangan negara maju seperti Jerman dalam libatsama industri dan universiti secara lebih agresif,’’ ujarnya. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd Fairus Md Isa

 

  • Created on .
  • Hits: 1888

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024