USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, INSTITUT SUKAN NEGARA JALIN KERJASAMA PACU KECEMERLANGAN SUKAN NEGARA

USM PULAU PINANG, 18 Februari 2021- Universiti Sains Malaysia (USM) dan Institut Sukan Negara Malaysia (ISN) melakar sejarah apabila menjalin kerjasama dengan memeterai perjanjian persefahaman (MoU) buat julung kalinya hari ini.

WhatsApp_Image_2021-02-17_at_15.09.12.jpeg

Majlis tersebut yang diadakan secara maya, berlangsung serentak di Bilik Persidangan Canselori, USM dan Bilik Mesyuarat Aras 15, Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya.

Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan dan Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md. Ramli menandatangani MoU tersebut bagi kedua-dua institusi, dengan disaksikan oleh Pensyarah Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM, Profesor Madya Dr. Ahmad Munir Che Muhamed dan Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Inovasi ISN, Dr. Yeo Wee Kian. Turut sama menyaksikan majlis secara maya adalah Pengerusi Lembaga ISN, Profesor Dato’ Dr. Rahmat Mohamad.

isn3

Faisal Rafiq dalam ucapan alu-aluannya sangat bersyukur dan gembira atas kerjasama strategik yang terjalin dengan pihak ISN untuk tempoh tiga tahun itu, dan menyifatkan kerjasama tersebut dalam aspek perkhidmatan, penyelidikan dan akademik khususnya bagi membangunkan bidang sains, perubatan dan teknologi sukandapat memberi manfaat besar kepada negara.

Katanya, “USM sebagai sebuah institusi akademik yang mempunyai kepakaran dan kelengkapan sukan terbaik di wilayah utara Malaysia percaya masa depan yang cemerlang dalam bidang sukan dapat dipacu ke tahap yang lebih tinggi dengan kerjasama ini.

isn2

“USM komited untuk bersama-sama dengan ISN mewujudkan pusat kecemerlangan sukan di utara Semenanjung Malaysia. Bagi tujuan ini, USM akan menyediakan kemudahan infrastruktur bagi ISN untuk menyediakan perkhidmatan sains sukan dengan kerjasama kepakaran di USM.

Kepakaran dan kelengkapan sukan yang ada di USM juga dapat dimanfaatkan dan USM bersedia untuk membenarkan ISN menggunakan mana-mana kelengkapan di Kampus Induk, Kampus Kesihatan dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) tanpa sebarang caj,tambahnya.

Sementara itu, menurut Ahmad Faedzal pula, persefahaman ini bermatlamat untuk menguatkan, menggalakkan dan membangunkan bidang perkhidmatan dan penyelidikan bagi kemajuan sains, perubatan dan teknologi sukan di Malaysia.

thumbnail image4

“Selain itu, ia juga membolehkan kedua-dua pihak berkongsi kepakaran sedia ada merangkumi ahli akademik, penyelidik, pelajar dan kakitangan bagi tujuan akademik dan penyelidikan termasuk program latihan industri, penempatan pelajar-pelajar prasiswazah dan pascasiswazah dalam bidang sains, perubatan dan teknologi sukan untuk satu tempoh pengajian atau penyelidikan yang akan ditentukan secara bersama oleh kedua-dua pihak,” tambahnya lagi.

“Jaringan bersama serta konsep idea pertukaran kepakaran, kemahiran serta pengalaman yang ada di antara USM dan ISN pastinya akan memacu teknologi sukan ke peringkat tertinggi.

thumbnail image7

Pertukaran kepakaran ini juga akan menjadi penanda aras kedua-dua pihak untuk kemajuan sukan negara serta merancakkan lagi mutu sukan negara setanding dengan luar negara,” ujarnya.

Turut ditekankan dalam MoU itu ialah persetujuan untuk menjalin kerjasama dalam penawaran program diploma eksekutif, pascasiswazah dan ijazah kedoktoran yang berkaitan dengan bidang yang dinyatakan; penganjuran bersama simposium, persidangan, kursus jangka pendek dan mesyuarat berkenaan isu-isu penyelidikan; penerbitan hasil penyelidikan dan inovasi secara bersama; penyeliaan bersama bagi projek penyelidikan pelajar pascasiswazah serta kerjasama dalam bidang lain.

ISN yang berlokasi di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, adalah peneraju kecemerlangan sains, perubatan dan teknologi sukan melalui kaedah penyampaian bersepadu, berkesan dan mampan untuk memaksimumkan prestasi atlet negara yang bertaraf dunia.

Selain USM, sehingga kini ISN telah mengadakan kerjasama dengan lebih sepuluh buah institusi akademik dari dalam dan luar negara.

Yang turut hadir bagi pihak USM ialah Pengarah Pembangunan Korporat Strategik,  Muhamad Sabri Said; Ketua Seksyen Senaman dan Rehabilitasi, IPPT, Dr. Hazwani Ahmad Yusof @ Hanafi; dan Pengerusi Program, Program Sains Senaman dan Sukan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Madya Dr. Ooi Foong Kiew.

Teks: Zamzami Rasidi/Suntingan: Tan Ewe Hoe/Foto: Mohd Fairus Md Isa & Institut Sukan Negara

  • Created on .
  • Hits: 838

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024