USM KONGSI KEPAKARAN TEKNOLOGI KENDALIAN DRONE BERSAMA PANGKALAN UDARA JPBM BERTAM
BERTAM, KEPALA BATAS, PULAU PINANG, 19 Februari 2021 – Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan legasi perkongsian kepakaran buat komuniti dan kali ini memperlihatkan teknologi drone bagi misi mencari dan menyelamat kepada Pegawai Pangkalan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Sesi perkongsian ini melibatkan pensyarah dan penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Aeroangkasa USM yang hadir memberikan latihan selama tiga hari di Pangkalan Udara JBPM Bertam dalam pengendalian drone berteknologi tinggi berdasarkan keperluan JBPM Bertam.
Antara lain tujuan utama latihan yang dinamakan Latihan Sijil Teknikal ‘Unmanned Aerial System’ (UAS) ini adalah untuk memudahkan kakitangan JBPM Bertam melaksanakan misi-misi kecemasan dan menyelamat menggunakan drone ketika berlakunya banjir dan kebakaran.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, USM sentiasa membuka peluang untuk mana-mana agensi mahupun komuniti yang ingin menuntut ilmu dan kepakaran yang dimiliki oleh USM demi kemudahan dan kebaikan bersama.
“USM mempunyai tenaga pakar yang diiktiraf termasuklah kemudahan yang amat baik untuk dikongsi bersama pihak luar, dan di dalam konteks bersama Pangkalan Udara JBPM Bertam ini, saya bagi pihak USM amat mengalu-alukan apa yang diperlukan oleh pihak JBPM Bertam untuk USM menyalurkan ilmu berkaitan kendalian drone apatah lagi ia amat penting bagi memudahkan kakitangan JBPM mempercepatkan proses misi menyelamat yang membabitkan kes-kes kecemasan kritikal,” katanya ketika hadir merasmikan majlis tamat Kursus Latihan Sijil Teknikal UAS dan menyampaikan sijil buat sepuluh peserta terdiri daripada pegawai JBPM Bertam.
Jelas Faisal Rafiq lagi, sememangnya PPK Aeroangkasa USM di Kampus Kejuruteraan Nibong Tebal mempunyai kepakaran dan kemudahan khususnya membabitkan pengendalian drone berteknologi tinggi ini.
“Saya yakin dengan bimbingan dan latihan selama tiga hari yang dikendalikan oleh ketua kursus Dr. Ahmad Faizul Hawary dan pasukannya dari PPK Aeroangkasa ini mampu merubah lanskap misi-misi menyelamat oleh pihak JBPM Bertam ke arah lebih berkesan dan efektif dengan teknik penggunaan drone,” katanya lagi.
Beliau turut menghargai kerjasama daripada Syarikat Lestari Aero Industries Sdn. Bhd. dan atas kepercayaan yang diberikan untuk mengendalikan latihan drone kepada JBPM Bertam sebagai usaha dalam memberi pengetahuan dan pendedahan tentang teknologi terkini dalam pengendalian drone.
Pada majlis yang sama, Pengarah Bahagian Udara, JBPM, YS. PKPjB Nazili Haji Mahmood berkata beliau amat menghargai sumbangan kepakaran yang dikongsikan oleh USM mengendalikan drone berteknologi tinggi ini.
“Sudah semestinya jika membabitkan teknologi, pihak JBPM turut sama tidak mahu ketinggalan apatah lagi teknologi drone ini amat membantu JBPM bagi kendalian operasi-operasi menyelamat seperti kebakaran hutan dan banjir besar selain ia membabitkan kos cukup rendah.
“Saya juga turut berharap selepas ini lebih ramai pegawai JBPM Bertam akan dilatih sepenuhnya oleh USM supaya mereka pakar dalam mengendalikan drone berteknologi tinggi ini kerana latihan seumpama ini penting untuk menambah nilai ilmu teknikal setiap pegawai bagi operasi menyelamat,” katanya.
Kata Nazili lagi, teknologi robotik seperti drone ini perlu dimanfaatkan oleh pihak JBPM kerana ia mampu mempercepatkan proses operasian apatah lagi membabitkan operasi penyelamatan yang melibatkan nyawa manusia.
Kursus latihan pengendalian drone yang diadakan selama tiga hari itu mengambil kira penjagaan SOP yang ketat di antara peserta dan pelatih bagi mengelakkan jangkitan dan penularan wabak COVID-19.
Yang turut hadir ke majlis tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif Lestari Aero Industries Sdn. Bhd., Ahmad Joahari Abu Bakar; Dekan PPK Aeroangkasa USM, Profesor Madya Dr. Farzad Ismail; serta barisan pegawai dari Pangkalan Udara JBPM Bertam dan fasilitator program.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1441