USM AGIH RM1.13 JUTA ZAKAT SARA HIDUP PELAJAR ASNAF TAHUN 2020
USM PULAU PINANG, 15 Februari 2021 – Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini telah mengumumkan agihan zakat sara hidup kepada pelajar asnaf berjumlah RM1.13 juta untuk sepanjang tahun 2020.
Berdasarkan statistik yang telah dikeluarkan oleh Pusat Islam USM dengan kerjasama Pusat Urus Zakat Pulau Pinang (PUZPP), sejumlah RM1,130,900 telah diagihkan kepada pelajar yang layak menerima zakat pada tahun tersebut melalui kategori-kategori yang ditetapkan.
Pelajar bagi kategori fakir merupakan antara penerima tertinggi bantuan zakat dengan jumlah sebanyak RM995,400 bersamaan 88%. Diikuti kategori Fisabilillah (melaksanakan aktiviti dakwah dan pengembangan ilmu) sebanyak RM75,000 bersamaan 6.6%. Seterusnya, pelajar kategori miskin pula sebanyak RM60,500 bersamaan 5.3%. Manakala pelajar kategori muallaf tahun lalu turut menerima bantuan sebanyak RM600 bersamaan 0.05%.
Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Hj. Mohammad Shukri Osman mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih buat semua warga kampus yang telah menunaikan tanggungjawab sebagai pembayar zakat melalui Sektor Zakat, Kecemerlangan Perkhidmatan dan Korporat, Pusat Islam USM bagi tujuan menyalurkan sumbangan dana buat golongan yang memerlukan, terutamanya membabitkan pelajar USM.
“Saya mengharapkan sumbangan zakat pada tahun ini dapat ditingkatkan lagi berbanding tahun 2020 melalui agihan kepada golongan sasar yang memerlukan dan warga USM yang berkelayakkan diseru agar dapat menunaikan rukun Islam keempat ini melalui potongan gaji ataupun terus melayari pautan: https://epusatislam.usm.my/default.php untuk maklumat lanjut,” kata beliau.
Sebarang pertanyaan mengenai urusan zakat dan wakaf di USM, sila hubungi talian:
- Pusat Islam Kampus Induk: 04-6535057 / 3910
- Pusat Islam Kampus Kejuruteraan: 04-599 5480 / 5481
- Pusat Islam Kampus Kesihatan: 09-7671061 / 1067
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Infografik Statistik: Pusat Islam USM
- Created on .
- Hits: 906