USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INISIATIF MICRO-SEED FUNDING ‘DARI STAF KEPADA STAF’ BANTU TINGKATKAN TARAF HIDUP B40

USM PULAU PINANG, 14 Februari 2021 – Dengan berkonsepkan ‘dari staf kepada staf’, Universiti Sains Malaysia (USM) telah memperkenalkan inisiatif micro-seed funding yang menggunakan kepakaran sedia ada staf akademik di universiti dan dikembalikan semula kepada staf bukan akademik.

Micro-seed funding ini merupakan salah satu usaha murni yang diperkenalkan pada tahun 2021 oleh Naib Canselor, dan dibangunkan oleh Pejabat Pendaftar di bawah kategori Pengurusan Bakat dan Kesejahteraan, dengan kolaborasi bersama Program Pemindahan Ilmu (KTP), Bahagian Jaringan dan Industri Masyarakat (BJIM), serta beberapa ahli akademik tertentu.

Inisiatif ini bertujuan untuk membantu membangunkan ekonomi sekaligus memperbaiki taraf hidup staf USM yang tergolong dalam kategori B40 yang juga berminat untuk memulakan perniagaan dalam bidang keusahawanan tidak kira sama ada individu tersebut pernah mempunyai perniagaan atau tidak sebelum ini.

Fokus ‘micro-seed’ adalah untuk melahirkan seberapa banyak mentor dan mentee keusahawanan mengikut kesesuaian bidang kepakaran yang terdapat di USM.

Tanpa mengira sama ada perniagaan di luar atau dalam kampus, syarat untuk memulakan perniagaan ialah harus mempunyai mentor yang terdiri daripada golongan pensyarah di universiti.

Melalui Pusat Pembangunan HEBAT (HDC) yang diuruskan oleh Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA), golongan usahawan baru akan dibantu untuk menjalani kursus keusahawanan secara percuma yang dikendalikan sendiri oleh golongan profesional di universiti beserta kepakaran yang diperolehi dari para pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan USM.

Selain itu, suntikan modal akan diberikan kepada golongan usahawan baru secara individu atau berkumpulan.

Dalam sesi temu bual bersama Pegawai Perhubungan Staf, Jabatan Pendaftar USM, Zulkifli Che Hussin, beliau berkata, idea micro-seed funding yang dibawa ke universiti ini telah memberi impak yang positif sejak pelaksanaan inisiatif yang pertama lagi.

“Kesan projek ini dapat dilihat apabila terdapat staf yang berjaya menternak ikan keli dan ikan talapia baka Thailand, kambing biri-biri dan arnab di dalam kampus.

WhatsApp_Image_2020-12-12_at_09.19.15.jpeg

 Foto diambil di awal tahun 2020 (pra-COVID-19)

“Inisiatif ini dijalankan di ketiga-tiga kampus USM dan selain dijalankan di dalam kawasan kampus, ia juga membantu staf membuka perniagaan kecil-kecilan di luar kampus seperti bengkel membaiki kenderaan, perniagaan pasar malam di hari minggu, penjualan produk santan segar dan produk daging pekasam,” jelas Zulkifli.

WhatsApp_Image_2021-02-16_at_16.49.54.jpeg

“Inisiatif ini sangat efektif kerana usahawan-usahawan mendapat bimbingan dan kepakaran daripada pakar-pakar pensyarah USM sendiri tanpa perlu mengeluarkan modal yang banyak.

“Projek ini juga membuka ruang kepada staf USM untuk membangunkan kawasan terbiar sekaligus mampu memberi penjanaan ekonomi kepada universiti,” katanya.

Tambah beliau lagi, dengan peruntukan geran ‘micro-seed’ sebanyak RM60,000 yang diterima untuk tahun ini, akan memberi semula fokus kepada aktiviti yang telah tertangguh akibat pandemik COVID-19.

“Tumpuan akan diberikan untuk mengembangkan keusahawanan dengan memberi ruang kepada staf yang ingin memohon untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan.

“Staf yang berminat untuk mengikuti inisiatif ini boleh melayari ‘dashboard’ Jabatan Pendaftar untuk mengisi borang permohonan dan kertas cadangan/kerja.

“Saya bagi pihak Jabatan Pendaftar dan peserta merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Naib Canselor atas peruntukan dana, Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang telah menghulurkan bantuan menjayakan insiatif ini, serta BJIM dan pensyarah-pensyarah Pusat Pengajian Sains Kajihayat yang memberi kerjasama dan sokongan seratus peratus dalam pelaksanaan inisiatif ini,” katanya.

Harapan Zulkifli adalah untuk membuka ruang kepada lebih banyak lagi PTJ atau Pusat Pengajian yang mempunyai produk dan/atau kepakaran yang boleh dipindahkan kepada golongan staf B40, dengan menghubunginya Zulkifli@Abeyoh di talian 019-5444002.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: Zulkifli Che Hussin

  • Created on .
  • Hits: 618

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024