USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KOLABORASI USM-OSRAM DIPERKUKUH

usmmou

PULAU PINANG, 11 Mei 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) memperkukuhkan kolaborasi dengan Osram Opto Semiconductors (Malaysia) Sdn. Bhd (OSRAM) melalui satu memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangan di sini baru-baru ini.

Melalui Moa berkenaan OSRAM meneruskan komitmennya untuk menjadi sebahagian daripada penyumbang dalam pengembangan bidang penyelidikan dan pembangunan ilmu melalui suntikan dana berjumlah RM1.33 juta kepada USM.

Sumbangan tersebut merangkumi pembiayaan bagi membangunkan kajian dan penyelidikan di USM, selain turut melibatkan tiga aspek lain seperti penyediaan peralatan makmal, biasiswa dan peluang menjalani latihan industri bersama OSRAM.

Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman berkata, USM sentiasa berusaha untuk melebarkan hubungan yang rasmi dan berfokus dengan pihak industri khususnya dalam usaha untuk membentuk satu sinergi yang dapat dimanfaat kedua-dua pihak.

Katanya, jalinan kolaborasi yang mula dijalin sejak 2009 itu makin membuahkan hasil yang memberangsangkan dan ia diharap akan dapat dikembangakan dengan lebih menyeluruh melibatkan lebih banyak pusat pengajian di USM.

``Setakat ini OSRAM telah memberikan sumbangan berbentuk penyediaan kelengkapan dan kemudahan penyelidikan, komponen diod pancaran cahaya (LED) dan pembiayaan biasiswa kepada empat pelajar termasuk Ijazah Doktor Falsafah dan Sarjana.

```Ini adalah satu kerjasama yang bukan mudah untuk dicapai dengan sebuah syarikat khususnya dari Jerman yang terkenal dengan kemajuan serta kepakaran teknologi dan sebagainya,’’ ujar beliau dalam sidang media selepas majlis pertukaran MoU di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan syarikat peneraju LED global tersebut, Dr. Roland Mueller pula berkata, usaha sama antara syarikatnya dan USM adalah berdasarkan kepada rekod pencapaian USM sebagai sebuah universiti penyelidikan yang unggul dan terkemuka.

``Ia menepeti kehendak syarikat dalam membentuk satu sinergi baru dalam hubungan strategik bersama institusi pengajian tinggi yang pada akhirnya dapat memberi peluang kepada dua-dua pihak berkongsi manfaat daripada usaha yang dibangunkan,’’ ujarnya.

Tambah beliau, selain pembiayaan biasiswa, OSRAM turut memberi peluang kepada pelajar USM menjalani latihan industri di OSRAM sebagai langkah persediaan sebelum mereka mengaplikasikan bidang ilmu itu di lapangan karier sebenar kelak. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohd. Fairus Md. Isa

 

  • Created on .
  • Hits: 1821

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024