USM TERLIBAT DALAM PROGRAM IMUNISASI KEBANGSAAN
USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 Februari 2021 – Seramai 5,358 petugas barisan hadapan Universiti Sains Malaysia (USM) dijangka terlibat dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk mengawal penularan wabak COVID-19 di negara ini dengan menerima suntikan awal vaksin.
Petugas barisan hadapan USM yang terlibat dalam program itu nanti membabitkan 4,673 dari Kampus Kesihatan, 287 Kampus Induk dan 398 Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT).
Perkara itu dinyatakan Timbalan Pengarah Operasi Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof dalam sesi Town Hall: Perkembangan Semasa Vaksin COVID-19 anjuran Kampus Kesihatan USM yang diadakan secara Webinar dan menerima tontonan hampir 3,830 pelayar, baru-baru ini.
Mohd Imran yang dijemput sebagai ahli panel dalam sesi berkenaan turut berkata, jika dilihat dari sejarah, penyakit-penyakit seperti Difteria, Polio dan Tetanus berjaya dikawal oleh vaksin, maka vaksin adalah satu-satunya kaedah yang terbukti berkesan mengawal penyakit berjangkit.
“Vaksin adalah satu-satunya harapan kita untuk menghentikan penularan COVID-19 dan seterusnya meratakan lengkungan COVID-19.
“Telah dibuktikan dalam kajian-kajian klinikal fasa tiga, vaksin memainkan peranan mengurangkan kadar kebolehjangkitan COVID-19 pada kumpulan penerima vaksin berbanding dengan kumpulan penerima yang diberi placebo sahaja,” jelasnya.
Justeru itu, katanya, memang wajar kerajaan melancarkan program imunisasi peringkat kebangsaan untuk mengawal penularan wabak negara ini, yang dijangka bermula penghujung bulan Februari ini.
“Kemungkinan pada minggu ke-4 bulan Februari akan dilancarkan satu program vaksinasi skala besar-besaran melibatkan hampir keseluruhan hospital/fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hospital universiti, hospital angkatan tentera dan beberapa fasiliti kesihatan lain yang akan dikenal pasti kelak di seluruh negara,” katanya lagi.
Menurut Mohd Imran, kerajaan sedar terdapat beberapa cabaran yang perlu dihadapi semasa program vaksinasi dijalankan; cabaran pertama berkaitan dengan vaksin COVID-19 itu sendiri kerana vaksin yang dipilih untuk program tersebut (vaksin Pfizer/BioNTech) adalah vaksin baharu berteknologi tinggi iaitu teknologi -mRNA.
“Kesan sampingan dan keberkesanannya masih hangat diperbahaskan semua pihak pada masa ini; begitu juga vaksin yang dipilihitudikatakan agak ‘high profile’/sensitif dari segi logistik dan ini memberi cabaran kepada pengendali vaksin dari aspek penghantaran dan pengagihan; serta isu setakat mana tahap penerimaan masyarakat terhadap penggunaan vaksin untuk pengawalan wabak COVID-19 ini,” katanya.
“Cabaran seterusnya, memandangkan operasi program vaksinasi itu adalah secara besar-besaran membabitkan angka yang begitu besar – staf kesihatan, fasiliti kesihatan sedia ada dan golongan masyarakat yang akan menerima vaksin nanti – maka ia memerlukan persediaan, perancangan dan penyelarasan yang sangat rapi antara agensi-agensi kerajaan khususnya KKM dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan pasukan di fasiliti-fasiliti penerima dan pemberi vaksin di seluruh negara,” jelasnya lagi.
Beliau turut menyatakan di USM vaksinasi terbahagi kepada dua fasa, iaitu fasa pertama membabitkan petugas barisan hadapan (frontliners) dan fasa kedua melibatkan kumpulan berisiko tinggi (pesakit warga emas dan yang mempunyai penyakit kronik).
Dari segi pengenalpastian penerima vaksin pula, terdapat tiga kaedah yang digunakan oleh USM iaitu 1) ‘line listing’ untuk petugas barisan hadapan; 2) aplikasi MySejahtera untuk pesakit berisiko tinggi; dan 3) secara manual (pendaftaran) untuk pesakit berisiko tinggi yang tidak memiliki smartphone dan warganegara lain yang layak.
Katanya, di Hospital USM khususnya, untuk Fasa 1, Prinsip Kohort Vaksinasi akan diguna pakai iaitu pemberian imunisasi secara berperingkat yang mana hanya sebahagian daripada anggota di setiap jabatan diberikan imunisasi pada tempoh masa yang sama, dan mengikut selang waktu tertentu 3 hari antara kohort.
“Ini adalah untuk memastikan perkhidmatan hospital tidak terjejas sekiranya ada anggota yang mengalami komplikasi/kesan sampingan (AEFI) selepas suntikan.
“Secara kesimpulannya, program imunisasi ini sangat mencabar dan semua pihak perlu bersedia serta memerlukan koordinasi yang baik di antara semua agensi bagi memastikan ia berjaya.
“Kerjasama yang mantap antara pemberi dan penerima vaksin adalah amat penting sekaligus memastikan keberkesanan vaksinasi termasuk mengelakkan pembaziran vaksin dalam mengawal penularan wabak ini,” katanya.
Sesi webinar itu disiarkan secara langsung menerusi Facebook Hospital USM Network: https://www.facebook.com/HospitalUSM/live/ dan saluran Youtube USM Kesihatan: https://youtu.be/MjhoBOr_f4o .
Sesi townhall itu turut menampilkan empat panel lain termasuk Pengarah Kampus yang juga Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim; Pengarah Eksekutif Ketua Kumpulan Perubatan USAINS, Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Norazmi Mohd Nor; dan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kesihatan yang juga Ahli Panel Penasihat Syariah, Hospital USM, Dr. Mujahid Bakar.
Teks: Mohamad Hafiz Asyraf (pelajar praktikal MPRC) & Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 856