USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENTINGNYA VAKSINASI PETUGAS KESIHATAN, BUKAN PILIHAN TETAPI KEUTAMAAN – PROF. DATO’ DR. MAFAUZY MOHAMED

mafauzy1

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 9 Februari 2021 – Kepentingan vaksinasi dalam kalangan barisan petugas kesihatan tidak perlu dinafikan lagi memandangkan keadaan negara kini yang amat serius berjuang mengurangkan penularan jangkitan wabak pandemik COVID-19.

Itulah kata Pengarah Eksekutif, Ketua Kumpulan Perubatan USAINS, Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed yang mengharapkan kerjasama kesemua petugas kesihatan barisan hadapan untuk menjadi benteng pertama negara mengambil vaksinasi COVID-19, Pfizer-BioNTech yang bakal diterima fasa pertama pada hujung bulan Februari ini.

Beliau berkata, kumpulan ini amat penting untuk didahulukan penerimaan vaksinasi kerana melihat beberapa faktor yang amat tepat untuk bertindak sedemikian seperti yang diputuskan kerajaan.

“Umum mengetahui bahawa petugas kesihatan merupakan kumpulan yang paling tinggi risiko untuk mendapat jangkitan virus tersebut kerana mereka setiap hari berhadapan dengan pesakit yang membawa penyakit, terutamanya apabila mereka menguruskan pesakit yang positif COVID-19,” jelas Mafauzy ketika hadir sebagai ahli panel bersama beberapa tenaga pakar Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) di sesi Townhall secara dalam talian bertajuk ‘Perkembangan Semasa Vaksin COVID-19’.

 mafauzy2

Jelas Mafauzy lagi, para petugas kesihatan perlu menjadi penerima vaksin pertama kerana mereka setiap hari berhadapan dengan pesakit termasuk yang menghidapi COVID-19, secara purata lebih 15 minit setiap pesakit, dan ini menyumbang kepada risiko besar untuk dijangkiti.

“Petugas kesihatan mempunyai tanggungjawab besar untuk digalas, apatah lagi melibatkan risiko nyawa mereka sendiri ketika merawat pesakit yang berisiko tinggi dan mampu menjangkiti komuniti sehingga membawa kepada kematian,” jelas beliau yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam dunia perubatan dan juga Mantan Pengarah Kampus Kesihatan USM dan Hospital USM.

Tambah beliau, bayangkan apa yang akan berlaku sekiranya para petugas kesihatan ramai dijangkiti virus ini, sudah semestinya mereka tidak mampu menjalankan tugas menguruskan atau merawat pesakit dan ia cukup memberi kesan negatif kepada institusi kesihatan dalam keadaan getir yang dihadapi negara kini.

“Anda boleh berfikir sejenak akibat yang bakal dihadapi sekiranya petugas kesihatan enggan menerima vaksin kemudiannya mudah dijangkiti penyakit; mereka perlu dirawat dan dikuarantin, seterusnya tugas mereka terpaksa digantikan oleh pekerja lain yang menyebabkan bebanan tugas semakin tinggi.

“Sudah semestinya ia membebankan pekerja lain dan secara keseluruhannya menjejaskan perkhidmatan institusi perubatan di negara ini,” kata Mafauzy.

Bersama beliau di sesi Town Hall secara dalam talian tersebut adalah Pengarah Kampus Kesihatan dan Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM, Profesor Dr. Norazmi Mohd Nor; Timbalan Pengarah Operasi Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof dan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kesihatan USM merangkap Ahli Panel Penasihat Syariah Hospital USM, Dr. Mujahid Bakar.

mafauzy3

Sehingga kini lebih 4,000 orang petugas kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah dijangkiti virus COVID-19 dan perkara ini amat membimbangkan negara jika tidak diambil tindakan serius tentang vaksinasi petugas barisan hadapan.

“Pelbagai kesan positif yang cukup memberi impak kepada negara jika pengambilan vaksinasi ini diambil secara betul oleh petugas kesihatan iaitu selain berisiko rendah untuk tidak dijangkiti, mereka merupakan kelompok utama yang akan melindungi dan mencegah koronavirus ini dari menjangkiti komuniti, rakan-rakan dan keluarga,” tambah beliau.

Selain itu, Mafauzy berkata vaksinasi juga mampu mencegah klinik, wad dan hospital dari ditutup jika wabak tersebut tidak mampu dikawal.

Bercakap mengenai risiko kepada kesan sampingan dari vaksinasi, beliau menjelaskan para penerima vaksin tidak perlu khuatir kerana risiko untuk mendapat kesan sampingan dari vaksin tersebut amat rendah.

“Jika ada pun hanyalah kesan sampingan biasa sahaja seperti demam, sakit kepala, keletihan dan kelesuan, sedikit kesakitan pada otot dan ruam contohnya,” kata beliau lagi.

Di akhir penerangannya, Mafauzy berkata, tujuan utama kerajaan sanggup membelanjakan berbilion ringgit bagi pembelian vaksin khas untuk rakyat Malaysia adalah semestinya untuk mengurangkan jumlah kematian, menurunkan kadar jangkitan seterusnya dapat memansuhkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memberi ruang untuk rakyat Malaysia menjalani kehidupan normal kembali.

”Vaksin tidak menghapuskan virus, tetapi ia mampu menghentikan pandemik dan PKP bagi menurunkan kadar jangkitan dan boleh saya katakan di sini, vaksinasi boleh menyelamatkan sistem kesihatan negara,” kata beliau.

Teks & Foto: Mohd Azrul Mohd Azhar

  • Created on .
  • Hits: 1017

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024