USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

VAKSIN DARI SUDUT PANDANG ISLAM, YAKIN PADA FATWA BUKAN AUTA

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 Februari 2021 – Bercakap tentang vaksin, ia mendapat pandangan yang berbeza-beza dari setiap golongan masyarakat.  Perdebatan yang hebat tentang topik ini sentiasa berlangsung di pelbagai medium khususnya platform media sosial dalam kalangan ‘netizen’.  

Terkini, vaksin COVID-19 menjadi topik perdebatan utama apatah lagi Malaysia bakal menerima bekalan vaksin dan akan diberikan kepada beberapa golongan yang berkelayakkan khususnya pasukan barisan hadapan.

Walaupun COVID-19 tidak menunjukkan penurunan dalam bilangan kes harian, namun vaksin yang akan diberikan tetap mendapat pelbagai reaksi masyarakat khususnya golongan ‘anti vaksin’.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mujahid Bakar berkata, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-10 telah mengeluarkan fatwa berkenaan pengambilan vaksin khususnya vaksin COVID-19 adalah harus dan juga wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia.  

SAVE_1.jpg

Begitu juga, beberapa negara luar turut mengeluarkan fatwa masing-masing berkenaan pengambilan vaksin COVID-19.

“Satu-satu fatwa yang dikeluarkan, bukan hanya melalui pandangan ahli agama semata-mata tetapi turut mendapat pandangan pakar bidang yang berkaitan; demikian juga benarnya dengan vaksin COVID-19 yang diperdebatkan sekarang ini yang mana Kerajaan mempunyai kuasa untuk menetapkan hukum mubah, harus kepada wajib berdasarkan kemasylahatan sebagaimana larangan Saidina Umar bin Al-Khattab ke atas penduduk Madinah memakan daging selama dua hari berturut-turut pada zaman beliau memerintah.

“Islam secara umumnya tidak mengharamkan vaksinasi kerana Islam mengajar untuk menghalang apa-apa yang boleh memudaratkan orang lain.

“Mengikut Al-Maqasid Al-Syariah adalah tanggungjawab kita memelihara agama dan akhlak, memelihara hidup dan kesihatan, memelihara keturunan, akal serta kekayaan," ujarnya,” jelasnya.

Tambah Mujahid, vaksinasi memenuhi objektif syariah kerana orang Islam yang diberi vaksin akan berada dalam posisi yang lebih baik untuk menegak dan mempraktikkan semua ‘faraid’ (ibadah wajib).

Mujahid yang juga Ahli Panel Penasihat Syariah, Hospital USM berkata, ramai dalam kalangan masyarakat mempersoal dan memperbesarkan isu vaksinasi ini kerana kandungannya yang diragui mengandungi bahan-bahan tidak halal seperti janin dan daging khinzir.

"Fatwa antarabangsa mengambil pendekatan ‘istihalah’ iaitu bahan terlarang boleh diguna pakai sebagai ubat-ubatan.

"Sebagai umat Islam, kita harus yakin dan percaya Allah adalah penyembuh segala penyakit tetapi Allah meminta kita berusaha untuk mengubati penyakit.  Dengan pengambilan vaksin, ia dapat mengurangkan morbiditi dan kematian di peringkat global, maka ibu bapa yang memilih untuk memberi vaksin kepada anak, memenuhi keperluan keturunan mereka, hidup dengan ketenangan hati mengetahui masyarakat telah dilindungi serta intervensi yang menjimatkan kerana mencegah penyakit adalah lebih baik daripada merawatnya," jelasnya lagi.

Ulas Mujahid, semua pihak yang bertanggungjawab perlu memainkan peranan terutama dalam menggiatkan pendidikan awam mengenai vaksin kepada masyarakat bagi meningkatkan kepercayaan terhadap vaksin di samping memerangi teori konspirasi dan penyebaran yang salah berkenaan vaksin.

Beliau berkongsi maklumat tersebut dalam sesi ‘Town Hall’ Perkembangan Semasa Vaksin COVID-19 yang disiarkan secara langsung menerusi ‘FB Hospital USM Network’ dan ‘Youtube USM Kesihatan’ pagi ini.

Didapati seramai 3,830 warga kampus dan luar kampus mengikuti sesi tersebut.

Sesi tersebut turut disertai oleh empat panel yang lain termasuk Pengarah Kampus yang juga Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim; Pengarah Eksekutif Ketua Kumpulan Perubatan USAINS, Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed; Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Profesor Dr. Norazmi Mohd Nor dan Timbalan Pengarah Operasi Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof.

Teks:  Lailatul Hafiza Abdul Rashid

  • Created on .
  • Hits: 729

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024