USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KAJIAN PAKAR BUKTIKAN VAKSIN COVID-19 SELAMAT

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 Februari 2021 – Vaksin COVID-19 amat penting dalam mengurangkan kadar kematian terutama dalam kalangan warga emas dan kumpulan yang berisiko tinggi.

Menurut Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga Pakar Imunologi Molekular dan Vaksinologi, Profesor Dr. Norazmi Mohd Nor, vaksin yang akan diberi kepada rakyat adalah vaksin yang efektif dan telah menjalani ujian yang rapi oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjamin keselamatan penggunaannya.

SAVE.jpg

“Sebelum diluluskan untuk digunakan, vaksin tersebut perlu melalui peringkat-peringkat pembangunan vaksin iaitu peringkat pra-klinikal untuk mengenalpasti patogen bagaimana ia menyebab penyakit, bagaimana sistem imun dapat melindungi kita daripada patogen tersebut, konsep reka bentuk vaksin, ujian pra-klinikal dan penghasilan vaksin mengikut piawaian Good Manufacturing Practice (GMP).

“Seterusnya, vaksin tersebut perlu pula melalui peringkat kajian klinikal iaitu melepasi kajian klinikal fasa I, fasa II, fasa III, penilaian Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan melepasi kajian klinikal fasa IV,” katanya semasa menyampaikan taklimat dalam sesi Town Hall: Perkembangan Semasa Vaksin COVID-19, di sini hari ini.

Tambah Norazmi, setiap keputusan daripada kajian klinikal fasa I, II dan III perlu diteliti oleh semua pakar dan akan dibentangkan di seluruh dunia tentang kajian tersebut.

“Setelah lengkap ketiga-tiga fasa, NPRA akan meneliti semula aspek keselamatan, keberkesanan serta kesan sampingan sebelum meneruskan kajian klinikal fasa IV.

“Proses yang kompleks dalam penghasilan vaksin sebelum ianya boleh digunakan oleh komuniti merangkumi penyelidikan makmal yang ekstensif, pemilihan teknologi platform yang sesuai, keberkesanan yang diharapkan, kepastian keselamatan dan memenuhi keperluan agensi regulatori,” jelasnya lagi.

Norazmi berkata, kebanyakan vaksin COVID-19 bertindak sebagai penghalang kemasukan virus ke dalam sel badan.

“Terdapat pelbagai jenis vaksin yang dihasilkan untuk COVID-19 contohnya virus SAR- CoV2 yang telah dinyahaktif, vektor virus, protein subunit dan asid nukleik dan apa yang kita inginkan ialah vaksin COVID-19 ini perlu merangsang sistem imun serupa dengan jangkitan sebenar agar boleh mencegah daripada jangkitan COVID-19.

“Malaysia telah memilih syarikat Pfizer untuk membekalkan vaksin dan dijangka mula tiba di negara kita pada bulan ini yang dipercayai 100% efektif melindungi kematian, kes teruk dan rawatan hospital,” katanya.

Untuk rekod, sehingga 7 Februari 2021, seramai 124 juta rakyat seluruh dunia telah menerima vaksin COVID-19.

Norazmi berkongsi maklumat tersebut yang disiarkan secara langsung menerusi ‘FB Hospital USM Network’ dan ‘Youtube USM Kesihatan’ yang mendapat 3,830 tontonan terdiri daripada warga kampus dan luar kampus.  

Sesi pengucapan awam (town hall) itu turut disertai oleh empat panel lain termasuk Pengarah Kampus yang juga Pengarah Hospital USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim; Pengarah Eksekutif Ketua Kumpulan Perubatan USAINS, Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed; Timbalan Pengarah Operasi Hospital USM, Profesor Dr. Mohd Imran Yusof dan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Kesihatan yang juga Ahli Panel Penasihat Syariah, Hospital USM, Dr. Mujahid Bakar.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel

  • Created on .
  • Hits: 1495

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024