MPP DISARAN GIAT SUSUL USUL DILULUSKAN-TNC
PULAU PINANG, 11 Mei 2013 – Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia (MPP USM) disaran supaya lebih agresif dalam membuat susulan terhadap usul-usul yang telah dibahaskan dan diluluskan dalam Mesyuarat Dewan Perundingan Pelajar (DPP).
Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM, Prof. Adnan Hussein berkata, susulan perlu giat dijalankan bagi memastikan kelicinan proses melaksanakan tindakan dalam setiap usul yang diluluskan.
Katanya, MPP perlu mendapatkan respon dari pihak yang bertanggungjawab supaya pada akhirnya semua ahli dewan dan masyarakat kampus mendapat makluman daripada keputusan yang telah diluluskan dalam DPP.
``Kita mahu memastikan DPP berfungsi seperti yang sepatutnya, selain mengelak masalah penangguhan dalam tindakan yang perlu diambil oleh pihak yang bertanggungjawab,’’ katanya dalam ucapannya ketika pembukaan DPP Siri 2 di sini hari ini.
Selain itu, Adnan turut berkata, DPP yang mengambil contoh sistem demokrasi berparlimen seperti yang diamalkan di negara ini dilihat sebagai satu medan untuk para pelajar memahami dan mengaplikasikan cara untuk menyuarakan hujah dengan wajar dan berilmu.
Justeru katanya, pembentangan yang dibuat mestilah berasaskan ilmu iaitu merangkumi fakta, hujah yang relevan dan tidak bercakap mengikut emosi semata-mata.
``DPP juga adalah medan untuk membahasakan usul yang membawa kepentingan secara menyeluruh untuk menjamin kehidupan masyarakat kampus yang lebih baik, bukan sekadar pendapat individu atau hanya melibatkan pihak tertentu,’’ ujar beliau.
Dalam pada itu, DPP siri 2 memperlihatkan sejumlah 15 usul dibahaskan merangkumi isu penawaran kursus bahasa isyarat, pengecualian yuran bas kepada pelajar praktikal, kemudahan bas untuk wanita, penambahbaikan tahap keselamatan dan sebagainya. Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mu'azzah Ismail
- Created on .
- Hits: 1548