USM-PUP FILIPINA METERAI KERJASAMA ANTARABANGSA PEMBANGUNAN PENDIDIKAN DAN PENYELIDIKAN
PULAU PINANG, 5 Februari 2021 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Polytechnic University of the Philippines (PUP), Filipina hari ini memeterai kerjasama antarabangsa bagi tujuan kolaborasi pembangunan pendidikan tinggi dan penyelidikan di antara kedua-dua universiti.
Melalui penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU), kedua-dua pihak bersepakat untuk meningkatkan hubungan dua hala perkongsian kepakaran bagi tujuan pembangunan penyelidikan dan kebolehpasaran mahasiswa melalui pertukaran mahasiswa bertujuan mendedahkan corak dan budaya pendidikan rentas negara.
Menandatangani bagi pihak USM, Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Profesor Dr. Narimah Samat berkata, kerjasama ini sudah semestinya dapat dimanfaatkan antara kedua-dua universiti dalam bidang penyelidikan, penerbitan bersama buku-buku ilmiah, penganjuran bersama seminar peringkat antarabangsa serta pertukaran pelajar-pelajar bagi latihan industri dan sebagainya.
“Saya mengharapkan kerjasama antarabangsa ini dapat memantapkan kualiti pendidikan tinggi yang disediakan buat mahasiswa sekaligus memberikan peluang kepada mereka menerokai lebih meluas kemahiran, budaya dan kelainan penyampaian bidang pengkhususan yang disediakan kedua-dua institusi ini,” kata Narimah yang juga mewakili Naib Canselor bagi tujuan majlis menandatangani MoU yang diadakan secara dalam talian di Bilik Persidangan PPIK, USM.
Tambah beliau lagi, kerjasama yang juga melibatkan pertukaran kepakaran staf itu juga boleh dilaksanakan secara jangka masa pendek dan jangka masa panjang untuk kategori-kategori berlainan berdasarkan penilaian yang dipersetujui bersama untuk kebaikan kualiti pengkhususan yang ditawarkan.
Pada majlis yang sama, Dr. Anna Ruby P. Gapasin, Naib Presiden Penyelidikan, Jaringan dan Pembangunan, PUP berkata, kerjasama yang dimeterai ini diharap mampu membuka landskap baharu dalam menyemai pendidikan tinggi secara global dan lebih kondusif buat kedua-dua institusi.
“Pihak PUP amat menghargai kesediaan USM berganding bahu bersama untuk berusaha membangunkan kepakaran pendidikan tinggi dan PUP sentiasa bersedia menghulurkan apa jua bantuan berkaitan yang diperlukan demi kebaikan bersama,” kata beliau lagi.
Yang turut menyertai majlis penandatanganan ini secara dalam talian adalah Pengarah, Pejabat Pengurusan dan Kreativiti Penyelidikan(RCMO) USM, Profesor Dr. Lee Keat Teong; Penolong Naib Presiden Penyelidikan, Jaringan dan Pembangunan, PUP, Profesor Tomas O. Testor; Profesor Kesusasteraan PPIK USM, Profesor Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar; Ketua Editor International Journal of Asia Pacific Studies dan Pensyarah Kanan PPIK USM, Dr. Grace Chin; Penyelidik Fakulti, Pejabat Pengurusan Penyelidikan PUP, Hazel DR. Samala; barisan penyelidik, pensyarah dan pegawai-pegawai utama dari kedua-dua buah universiti.
Diasaskan pada tahun 1904, PUP kini mempunyai lebih 20 kampus dan cawangan di serata Luzon Tengah dan Selatan, dan Metro Manila. Dengan lebih 70,000 pelajar berdaftar, PUP merupakan antara universiti yang paling besar dari segi populasi pelajar di Filipina.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 878