USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ALAT BANTU PESAKIT PARKINSON TEMPA NAMA USM DI PERINGKAT ANTARABANGSA

USM, PULAU PINANG, 5 Februari 2021 - Pelajar antarabangsa Arab Saudi Pusat Pengajian Seni, Universiti Sains Malaysia (USM) Njood Alsadoun telah tular baru-baru ini apabila beliau telah ditemuramah oleh sebuah stesen terkemuka di Arab Saudi (Al Ekhbariya) untuk inovasi produknya iaitu ‘Tremor Reducer Button Hook’.

Njood_Alsadoun_channel_A.jpg 

Dibimbing dan dididik oleh 2 pensyarah beliau, Dr. Muhammad Jameel Mohamed Kamil dan Dr. Mohd Najib Abdullah Sani di Pusat Pengajian Seni USM dalam kursus Reka Bentuk Produk (VPT 305), beliau menjalani kursus ini secara Open and Distance Learning (ODL) berikutan pandemik COVID-19.

Dr_Jameel.jpg

Njood yang menjalankan kajian mengenai kesulitan yang dihadapi oleh pesakit Parkinson telah menerapkan elemen ‘empati’ dan ‘kemanusiaan’ yang dipelajari melalui Design Thinking (Pemikiran Reka Bentuk) telah membantu beliau mengenalpasti kesulitan yang dihadapi oleh salah seorang ahli keluarganya yang merupakan pesakit Parkinson melalui inovasinya ini.

Justeru, berpandukan kepada hasil kajian dan pemikiran reka bentuk yang teliti, Njood telah menghasilkan rekaan Tremor Reducer Button Hook iaitu inovasi alat bantu pesakit Parkinson untuk mengenakan butang baju dan menarik zip pada pakaian.

Produk ini membantu sebagai galakan kemandirian pesakit Parkinson dalam kehidupan harian.

Terdapat dua variasi utama di dalam produk ini iaitu Zipper Hook dan Button Hook dan direka khas melalui teknologi Microcontroller dan Motion Sensor.

Kedua-dua elemen teknologi ini membolehkan Zipper Hook dan Button Hook untuk berfungsi pada haluan yang bertentangan dengan haluan yang terhasil akibat getaran pada tangan pesakit Parkinson, sekaligus membolehkan pemakaian butang baju dan tarikan zip dapat dilakukan dengan baik.

Ianya selalu digunakan melalui pengaturan degupan jantung atau gegaran, dan salah satu aplikasi Microcontroller yang digunakan adalah ‘Arduino’.

Sensor gerakan kecil dalam produk ini pula akan bertentangan dengan apa yang sedang dilakukan oleh gegaran.

Oleh itu, jika pesakit bergerak ke kiri, alat ini secara fizikal akan menggerakkan alat ke kanan.

Rekaan Njood ini juga telah dipatenkan dan mendapat liputan luas media di Arab Saudi sehingga dijemput dalam sesi temuramah di dalam saluran Al Ekhbariya Saudi Arabia pada 30 Januari 2021 yang lalu.

Liputan antarabangsa seperti ini merupakan suatu pengiktirafan kepada pelajar tersebut dan kepada Dr Muhammad Jameel Mohamed Kamil dan Dr. Mohd Najib Abdullah Sani selaku tenaga pengajar kursus tersebut.

Pengiktirafan ini juga membuktikan kualiti akademik pelajar menerusi pendekatan Pemikiran Reka Bentuk dan asuhan bakat kreatif dalam inovasi reka bentuk produk di USM.

Selaras dengan visi transformasi pendidikan tinggi untuk kelestarian hari esok, USM akan terus komited dalam menghasilkan lebih ramai pelajar yang mampu menguasai pemikiran reka bentuk dalam penghasilan produk inovasi demi kelestarian di masa hadapan.

Galakan berbentuk penyeliaan yang terbaik dari tenaga pengajar, fasiliti dan teknologi akan terus diberikan keutamaan sebagai tunjang utama status APEX (Accelerated Programme for Excellence).

Statistik daripada Parkinson's News Today menganggarkan tujuh hingga 10 juta orang di seluruh dunia menghidap penyakit Parkinson.

Kelaziman penyakit ini dihidapi antara 41 orang daripada 100,000 orang dalam usia dekad keempat kehidupan dan lebih dari 1,900 orang daripada 100,000 orang di antara mereka yang berusia 80 tahun ke atas.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah, Dr. Muhammad Jameel Mohamed Kamil, Dr. Mohd Najib Abdullah Sani

  • Created on .
  • Hits: 1898

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024