USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BUKU SOROTAN SEJARAH PERLIS: PENGASASAN, PENGUKUHAN INSTITUSI DAN WARISAN

PULAU PINANG, 31 Januari 2021 – Kemunculan Perlis sebagai salah sebuah negeri yang berdaulat pada 1843 merupakan antara beberapa fenomena politik kurun ke-19 Masihi yang membawa kepada pembentukan negeri-negeri Melayu moden.

Itu antara naratif baharu yang disajikan di dalam Buku Sorotan Sejarah Perlis: Pengasasan, Pengukuhan Institusi dan Warisan hasil penyuntingan Dr. Nasha Rodziadi Khaw (Pensyarah, Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia [USM]); Mohd Kasturi Nor Abd Aziz (Pensyarah, Pusat Pengajian Pembangunan Manusia dan Teknokomunikasi, Universiti Malaysia Perlis [UniMAP]); dan Profesor Madya Dr. Nazarudin Zainun (Pensyarah Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan [USM]).

buku_1.jpg

Buku setebal 237 halaman itu merupakan kompilasi hasil kajian terbaharu yang memberi fokus khas kepada aspek sejarah pengasasan, pengukuhan institusi dan warisan kebudayaan negeri Perlis.

Peristiwa-peristiwa penting yang dikisahkan dalam buku ini termasuklah sumbangan dan jasawangsa Jamalullail dalam pembentukan, pentadbiran dan pembangunan negeri Perlis, sejarah percaturan politik antara Perlis, Kedah, Siam dan British dari kurun ke-17 hingga ke-20 Masihi, serta tinggalan arkeologi dan perkembangan intelektual masyarakat Perlis.

Bab-bab dalam buku ini dihasilkan berdasarkan kepada tafsiran terhadap dokumen sejarah dan manuskrip tradisional Melayu.

Antara sumber-sumber primer yang dikaji termasuklah Burney Papers, Crawfurd Papers, Perlis Annual Reports, Minit Majlis Mesyuarat Negeri Perlis, Nota-Nota Sejarah Negeri Perlis, Al Tarikh Salasilah Negeri Perlis dan Salasilah Perlis.

Bukan itu sahaja, fokus utama buku ini ialah mengenai 3 tema iaitu pengasasan negeri Perlis, pengukuhan Perlis sebagai sebuah negeri yang merdeka lagi berdaulat dan warisan Nisan Aceh serta matawang Perlis.

Pembentukan Perlis sebagai negeri yang bebas bermula dengan formalisasi pembebasannya dari Kesultanan Kedah dengan pengiktirafan dari Siam.

Walaupun pengasasan Perlis seringkali dikaitkan dengan percaturan politik Siam, kewujudan Perlis sebagai sebuah entiti politik yang berpemerintahan sendiri telah pun wujud sejak 1770 lagi.

Di samping memiliki kedudukan ekonomi dan geopolitik yang strategik, Sultan Muhammad Jiwa II telah mengambil inisiatif untuk meletakkan pentadbiran Perlis di bawah bidang kuasa Raja Muda, yang seterusnya telah mengukuhkan kemandirian negeri tersebut sebagai sebuah wilayah yang bersifat autonomi.

Selain itu kestabilan politik dalaman Perlis itu sendiri juga merupakan sebab utama kepada penerusan kewujudannya sebagai sebuah entiti politik berwibawa dan berdaulat walaupun Kedah sentiasa berusaha untuk menyerap semula Perlis ke dalam pentadbirannya.

Sehingga kini, wujud banyak persoalan mengenai sejarah Perlis yang masih perlu dikaji.

Aspek kajian seperti tinggalan kebudayaan awal di Perlis, kajian sumber-sumber asing, sumbangan institusi diraja kepada pembangunannya, serta sejarah perkembangan politik dan pentadbiran selepas pengasasannya perlu diselidiki dengan lebih mendalam.

Tafsiran baru tersebut dapat memperkayakan lagi naratif sejarah dan warisan negeri Perlis dan ia akan dimuatkan dalam kemunculan volume kedua bertajuk ‘Sorotan Sejarah Perlis: Perkembangan Sosioekonomi dan Kebudayaan’, yang akan diterbitkan pada tahun ini.

Teks: Mohamad Hafiz Asyraf (pelajar praktikal MPRC)

  • Created on .
  • Hits: 1566

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024