USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SEDIA PELAN SENARIO KEMASUKAN PELAJAR SEIRING GARIS PANDUAN KPT

PULAU PINANG, 2 Februari 2021 – Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyediakan pelan senario bagi kemasukan pelajar ke kampus dengan mengambil kira perkembangan semasa dalam tempoh negara masih bergelut dengan pandemik COVID-19.

WhatsApp_Image_2021-02-04_at_11.03.20.jpeg

Pelan senario berkenaan dibuat seiring dengan garis panduan terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk membenarkan pelajar tempatan institusi pendidikan tinggi (IPT) kembali ke kampus secara berfasa mengikut IPT masing-masing seawal 1 Mac depan.

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, dalam pendekatan menangani pandemik COVID-19, USM sentiasa peka dan mengambil kira beberapa faktor utama dalam menyediakan pelan tindakannya.

Katanya, ia meliputi beberapa perkara merangkumi keselamatan semua warga kampus, keperluan kritikal dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta memastikan kualiti PdP terjaga dengan baik.

Pun begitu katanya, USM turut mengambil maklum kehendak dan pandangan semua pihak yang berkepentingan.

“Pengumuman terkini daripada KPT dilihat sebagai satu langkah proaktif ke arah mewujudkan satu persefahaman dalam kalangan IPT di negara ini. Ia memang sesuai dengan mengambil kira keadaan semasa COVID-19 pada masa kini.  

“USM juga mengucapkan terima kasih kepada KPT kerana memberi panduan yang berguna dan dalam masa yang sama membenarkan IPT untuk menyesuaikan keputusan dengan keadaan tempatan di IPT masing masing,” ujarnya.

WhatsApp_Image_2021-02-04_at_11.03.20_1.jpeg

Ahmad Farhan juga berkata, USM sudah melalui pelbagai senario dan seboleh mungkin ingin mempunyai keanjalan dalam menghadapi pelbagai cabaran yang tidak dapat ditentukan.  

“Pastinya ini adalah normal baharu dalam dunia universiti dan semua perlu menyahut cabaran ini secara positif,” ujar beliau lanjut.

KPT dalam kenyataannya bertarikh 31 Januari 2021, mengenal pasti enam kategori pelajar berkeperluan untuk kembali ke kampus secara fizikal bermula 1 Mac 2021.

WhatsApp_Image_2021-02-04_at_11.03.37.jpeg

Mereka adalah 1) pelajar peringkat sijil, diploma, ijazah sarjana muda dan pasca siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas; 2) pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif untuk melaksanakan PdP dalam talian; 3) pelajar Asasi atau Setara dan Diploma yang sedia ada di kampus untuk meneruskan pembelajaran secara hibrid; 4) pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom (UK); 5) pelajar Berkeperluan Khas (OKU); serta 6) pelajar yang menduduki peperiksaan MUET, antarabangsa dan badan profesional.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 767

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024