USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BERHADAPAN DENGAN GEJALA KESIHATAN MENTAL SEMASA PANDEMIK COVID-19

PULAU PINANG, 30 Januari 2021 - Setahun selepas pandemik COVID-19, ramai daripada kita mula merasakan kesannya.

Kita mungkin berasa bimbang, cemas, kecewa, dan letih. Reaksi emosi mungkin berkisar dari sedikit bimbang dan kecewa, hingga kepada tiada harapan dan putus asa.

depressed.jpg

Ada gejala berbentuk fizikal (kehilangan selera makan, kekurangan tenaga), kognitif (kesukaran untuk menumpukan perhatian, tidak dapat membuat keputusan) atau emosi (kegelisahan, kemurungan).  

Sekiranya anda mengalami mana-mana gejala ini, adalah penting untuk mula mengambil tindakan. 

Hal ini kerana masalah kesihatan mental boleh menjadi bertambah buruk jika tiada tindakan diambil.

Tetapi seperti mana penyakit fizikal, masalah kesihatan mental boleh dirawat.

Seseorang mengalami masalah kesihatan mental bukan kerana mereka lemah. Dengan sedikit bantuan, semua orang dapat menikmati kehidupan yang lebih sihat dan bahagia.   

Langkah pertama untuk mengatasi masalah kesihatan mental adalah mengenal pasti sejauh mana seriusnya gejala yang ada pada diri sendiri atau orang tersayang.

Baca lebih lanjut untuk memahami mengenai masalah kesihatan mental.

Terdapat dua cara umum untuk mengetahui apabila tekanan boleh membawa kepada masalah kesihatan mental yang lebih serius.

Pertama adalah dari segi jangka masa dan yang kedua adalah keparahan.

Berapa lamakah anda telah mengalami gejala tersebut dan seberapa parahkah?

Sekiranya gejala berterusan selama lebih daripada dua minggu dan ianya mula mengganggu kehidupan seharian anda, inilah masanya untuk mengambil langkah yang lebih konkrit. 

Dalam keadaan ini, sangat penting untuk meminta pertolongan. Kesihatan mental bukanlah sesuatu yang boleh anda atasi secara bersendirian. Dapatkan pertolongan daripada mereka yang boleh anda percayai dan orang yang mengambil berat tentang anda. Mereka mungkin dalam kalangan ahli keluarga atau rakan anda.

Sekiranya anda tidak mempunyai sesiapa yang boleh diajak berbicara, atau berasa lebih selesa untuk bercakap dengan seseorang yang tidak mengenali anda, sila rujuk halaman sebelumnya mengenai Getting The Help You Need. Ia akan membawa anda ke senarai perkhidmatan kesihatan mental yang terdapat di Malaysia.  

Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan dengan kerjasama Unit Kaunseling USM (di bawah Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, BHEPA) juga ada menyediakan perkhidmatan intervensi kaunseling di talian 014-5351100 (WhatsApp).  

Sekiranya gejala anda berterusan dan menjadi lebih teruk, adalah mustahak untuk mendapatkan bantuan daripada ahli profesional.

Anda boleh pergi ke klinik dan berjumpa doktor perubatan untuk mendapatkan rujukan kepada profesional seperti pakar psikiatri, ahli psikologi klinikal atau ahli psikoterapi untuk mendapatkan pertolongan yang sangat diperlukan.

Jangan menderita dalam diam. Jangan menderita sendirian. Bantuan boleh didapati. Bantuan hampir kepada anda. 

https://www.who.int/campaigns/connecting-the-world-to-combat-coronavirus/healthyathome/healthyathome---mental-health

https://www.apa.org/topics/mental-health-attitudes

https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/daily-life-coping/managing-stress-anxiety.html

Abdul Khaiyom JH. Managing mental health in pandemic COVID-19 and movement control order. Malays J Med Sci. 2020; 27(4):147–153. https://doi.org/10.21315/mjms2020.27.4.14 

Sumbangan: Profesor Dr. Intan Hashimah Mohd Hashim, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia.  Email: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

  • Created on .
  • Hits: 752

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024