USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

DIPANCARKAN MENERUSI PLATFORM DIGITAL, SUPP CAPAI OBJEKTIF WALAU DALAM SITUASI WABAK

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 31 Januari 2021 – Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor (SUPP) yang menampilkan Profesor Dr. Mohtar Ibrahim dari Jabatan Oftalmologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan dilangsungkan secara maya menerusi platform digital rasmi kampus.

Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Sukari Halim berkata, Syarahan Umum Pelantikan Profesor adalah satu majlis yang cukup besar bagi karier seorang ahli akademik kerana ia merupakan tanda penghargaan Universiti di atas pengorbanan seorang ahli akademik mencapai tahap yang paling tinggi.

SAVE 20210131 162118

“Syarahan Umum adalah satu majlis yang paling berprestij dan acara kemuncak bagi seorang Profesor, namun segalanya berubah apabila wabak COVID-19 melanda, yang mana kita tidak dapat melaksanakannya sebagaimana tradisi di Kampus Kesihatan, akan tetapi kita tetap perlu mengadakan majlis syarahan tersebut dengan mengambil semangat sebelum ini bagi merealisasikan penghargaan serta konteks perkongsian ilmu seorang Profesor.

“Dengan wabak COVID-19 yang masih menghantui semua orang pada masa ini, kita terpaksa akur kekangan yang dihadapi dan setelah memikirkan pelbagai kaedah, dengan nasihat Pengurusan Tertinggi Universiti di samping menyemak Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negera (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pengurusan kampus bersetuju majlis ini diadakan secara maya,” ujarnya.

SAVE 20210131 151337

Tambah Sukari, kalau sebelum ini kita pernah adakan pelbagai ceramah menerusi ‘webinar’ dalam skala yang kecil, hari ini jawatankuasa mencabar diri mengadakan majlis yang lebih besar dan saya sangat-sangat hargai kesungguhan jawatankuasa penganjur dalam memastikan majlis tersebut berjalan lancar.

Sukari juga turut membayangkan majlis ini menjadi penanda aras kepada persediaan Universiti amnya dan Kampus Kesihatan khasnya dalam mengadakan majlis yang berskala besar dalam norma baharu seperti konvokesyen.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor yang juga merupakan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail meluahkan kesyukuran di atas perjalanan majlis yang cukup lancar.

“Terima kasih kepada seluruh warga kerja di belakang tabir yang telah bersungguh-sungguh memastikan Majlis Syarahan Umum dalam norma baharu ini mencapai objektif serta berjalan lancar dalam situasi pandemik COVID-19 ini.  

thumbnail 4 

“Walaupun hanya melalui platform digital, ianya memberi impak yang positif kerana lebih ramai masyarakat luar dapat mengikuti siaran tersebut dan mendapat manfaat daripada syarahan yang disampaikan oleh Profesor Mohtar hari ini yang bertajuk ‘Bank Mata di Malaysia: Antara Realiti dan Harapan’,” jelasnya.

Untuk rekod, Majlis yang disiarkan menerusi pautan FB USM Kampus Kesihatan dan Youtube USM Kesihatan mendapat sambutan apabila ianya telah ditonton oleh 2,000 orang ‘viewers’ dan yang lebih istimewa majlis tersebut turut ditonton oleh Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, menerusi FB USM Kampus Kesihatan.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 588

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024