USM, MOSCOW STATE UNIVERSITY JALIN KERJASAMA PERLUAS PENGGUNAAN BAHASA MELAYU
PULAU PINANG, 28 Januari 2021 – Dalam usaha memperluaskan lagi penggunaan Bahasa Melayu di peringkat global, Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Moscow State University (MSU), Rusia.
MoU itu membuka jalan sebagai platform untuk kedua-dua institusi menjalin kerjasama yang erat dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu.
Menurut Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM, Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong, kerjasama tersebut membolehkan pemindahan ilmu terutama berkaitan alam Melayu kepada institut yang bertanggungjawab di MSU iaitu Institute of Asian and African Studies.
Selain itu, jelasnya, usaha ini juga bertepatan dengan hasrat mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Rusia khususnya dalam merintis jalan bagi memartabat dan mengantarabangsakan bahasa Melayu di Rusia.
“Skop kerjasama ini memfokuskan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu terutama program pemindahan kredit bahasa Melayu, penyelidikan dan penerbitan dalam bidang bahasa Melayu dan terjemahan serta penganjuran seminar,” katanya.
Menurut Goh lagi, seorang pensyarah dari MSU, Alexandra Chernykh telah dijemput sebagai pembentang dalam program Webinar Terjemahan Antarabangsa USM dengan tema ‘Penterjemahan Struktur Bahasa Asing ke dalam Bahasa Melayu’ yang dijadualkan akan diadakan pada 26 Mac 2021. Tajuk pembentangannya ialah ‘Terjemahan Partisipel Bahasa Rusia ke dalam Bahasa Melayu’.
Webinar sehari anjuran Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi (UniTI), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan itu turut menampilkan pembentang dari Universiti Brunei Darussalam dan Tokyo University of Foreign Studies selain beberapa universiti tempatan yang lain.
“USM melalui UniTI bukan sahaja sudah memeterai MoU/MoA dengan universiti-universiti luar negara yang ada menawarkan program bahasa Melayu bagi merancakkan kerjasama dalam kegiatan pengajaran dan pembelajaran seperti penawaran Program Pemindahan Kredit Bahasa Melayu (PROPERBM) yang diusahakan bersama beberapa universiti terkemuka di negara China, malahan turut mengorak langkah bagi menjalin usaha sama penyelidikan dan penerbitan,” kata Goh yang juga penyelaras unit tersebut.
Teks: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 1153