USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ANUGERAH KHAS DIPERKENAL HARGAI STAF SOKONGAN

usmhimpun

PULAU PINANG, 8 Mei 2013 – Universiti Sains Malaysia (USM) bercadang untuk memperkenalkan anugerah baru dalam penganjuran Majlis Sanggar Sanjung yang sebelum ini diadakan bagi meraikan kecemerlangan tokoh pendidik dan pentadbir cemerlang.

Naib Canselor USM, Prof Dato’ Omar Osman berkata, anugerah tersebut dikhususkan kepada kumpulan sokongan yang disifatkan turut tidak terkecuali dalam mengerah keringat membantu proses operasi universiti.

“Pingat Perkhidmatan Cemerlang ini bertujuan untuk mengiktiraf staf sokongan yang berdedikasi dan menepati kriteria yang digariskan di kalangan staf pentadbiran,” kata beliau pada Perhimpunan Bulanan Naib Canselor bersama warga staf yang diadakan di Dewan Budaya, di sini semalam.

Tambah beliau, staf sokongan juga menjadi tulang belakang kepada pentadbiran universiti yang memainkan peranan amat penting dalam menjayakan segala perancangan perjalanan aktiviti-aktiviti universiti.

Pada majlis yang sama, Timbalan Naib Canselor, Bahagian Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal turut menasihati staf supaya menghargai masa, memegang amanah  yang telah diberikan serta menjaga lidah seperti yang dinasihatkan Imam Al-Ghazali.

"Sebenarnya terdapat enam teka-teki Imam Al-Ghazali kepada anak muridnya. Namun hanya tiga yang saya akan huraikan iaitu yang pertama, apakah yang paling jauh dengan kita? Kedua, apakah yang paling berat di dunia? Dan yang ketiga, apakah yang paling tajam di dunia?”  

Turut menyampaikan ucapan ialah Prof Madya Dr Jamilah Hj Ahmad, Dekan Pusat Pengajian Komunikasi (PPK). Beliau mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua staf PPK dan menyatakan bahawa Prof. Adnan Hussein,mantan Dekan PPK dan sekarang Timbalan Naib Canselor (TNC) BHEPP adalah idola beliau dalam melaksanakan tugas sebagai dekan PPK.

Tidak ketinggalan Encik Abd Aziz Razak, Pembantu Tadbir Kanan dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan turut menyampaikan ucapan. Menurut beliau, setiap penjawat awam, amnya dan staf USM khususnya harus mengamalkan integriti yang tinggi , jujur, benar dan amanah. Setiap kriteria ini juga diterjemahkan di dalam kehidupan kekeluargaan.

Aziz mula berkhidmat di USM pada 3 Mei 1983 ketika berumur 19 tahun. Beliau pernah bertugas di Perpustakaan Hamzah Sendut, Unit Peperiksaan, Jabatan Pendaftar dan juga Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (BHEPP), Jabatan Canselori.

“Pengalaman yang paling saya tidak dapat lupakan adalah berhadapan dengan demonstrasi pelajar dan juga membuat promosi pengambilan pelajar dari Indonesia untuk ijazah tinggi di USM. Seramai lebih lima orang pelajar telah diterima masuk ke USM dan telah bergraduai baru-baru ini. Pada saya kenangan tersebut adalah paling manis sepanjang saya bekerja di USM,” kata beliau yang juga Leftenan Muda Wataniah.

Turut hadir ialah Prof Madya Dr. Hajar Abdul Rahim, Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Dr Nor Malina Malek, Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan dan juga Puan Siti Zubaidah A. Hamid, Pendaftar. Teks: Nor Rafizah Md Zain/ Foto:Mohd Fairus Md Isa

  • Created on .
  • Hits: 2328

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024