USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERBIT BUKU ILMIAH: KETUM PERUBATAN MODEN DAN PERUBATAN ISLAM

PULAU PINANG, 25 Januari 2021 – Ketum merupakan ubat herba tradisional yang telah lama digunakan di Malaysia dan negara jiran, Thailand untuk merawat pelbagai penyakit.

Namun, penyalahgunaan ketum untuk tujuan rekreasi semakin berleluasa di Malaysia dan semakin serius.

Memandangkan ketum juga berpotensi untuk dijadikan ubat bagi perubatan moden maka manfaatnya perlu dipertimbangkan sewajarnya di sebalik kemudaratan yang dibawa.

Sehingga kini, karya yang membincangkan isu ini masih kekurangan bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

Justeru, buku Ketum: Perubatan Moden dan Perubatan Islam menghuraikan informasi dan data hasil penyelidikan kolaborasi para penulis, tinjauan ke atas para pengguna ketum di Malaysia dan negara jiran serta kajian ke atas kitab-kitab Islam dan pandangan daripada ulama secara terperinci.

WhatsApp_Image_2021-01-27_at_08.21.11.jpeg

Selain hasil penyelidikan para penulis, buku ini juga menggabungkan hasil penyelidikan terkini para penyelidik dari seluruh dunia. Ia meliputi pelbagai fakta saintifik menarik tentang ketum daripada pelbagai bidang perubatan moden seperti biokimia, fisiologi, anatomi, farmakologi, patologi, psikiatri, psikologi, kardiologi dan perubatan dalaman; bahkan fakta psikososial tentang penggunaan ketum.

Seterusnya, buku ini turut membincangkan isu kewajaran ketum untuk digunakan dalam perubatan moden daripada sudut perubatan Islam.

Matlamat utama buku ini adalah untuk menyampaikan maklumat, fakta serta pandangan yang terperinci kepada masyarakat tentang manfaat mengoptimumkan penggunaan ketum dalam perubatan moden dan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kemudaratan akibat penyalahgunaan ketum.

Buku ini sesuai dijadikan sebagai rujukan oleh ahli akademik dan pelajar universiti untuk memperoleh maklumat terkini tentang ciri-ciri dan penggunaan ketum memandangkan buku ini disokong dengan fakta-fakta ilmiah yang diperoleh daripada sumber rujukan yang berautoriti dari seluruh pelosok dunia; seterusnya mengisi kekekurangan buku ilmiah berkaitan ketum dalam pasaran tempatan.

Buku ini telah ditulis oleh barisan pensyarah seperti berikut:

  1. Profesor Madya Datin Dr. Noor Naemah Abdul RahmanPensyarah Universiti Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya; Bidang Kepakaran: Usul Fiqh dan Kefatwaan
  2. Dr. Mohammad Farris Iman Leong AbdullahPensyarah Perubatan Kanan, Pakar Perunding Psikiatri, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia; Bidang Kepakaran: Psikiatri
  3. Dr. Mohd Afifuddin MohamadPensyarah Universiti Kanan, Pengamal Perubatan Islam, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia; Bidang Kepakaran: Psikospiritual dan Perubatan Islam
  4. Dr. Nor Aini SaidinPensyarah Universiti Kanan, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia; Bidang Kepakaran: Toksikologi dan Doktor Perubatan Veterinar
  5. Profesor Madya Dr. Tan Mei LanPensyarah Farmasi Kanan, Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia; Bidang Kepakaran: Farmakologi dan Toksikologi Molekular.

Bagi mendapatkan buku ini bolehlah menghubungi Penerbit USM melalui platform seperti berikut:

  • Tel: 04-653 3888 samb. 4420/4421
  • Laman sesawang: www.penerbit.usm.my
  • Ecommerce: www.karyausm.my
  • Facebook Page: www.facebook.com/PenerbitUSM
  • Twitter Account: http://twitter.com/PenerbitUSM

Teks: Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid

  • Created on .
  • Hits: 1732

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024