SAINTIS TERSOHOR KELAHIRAN MALAYSIA JADI PENCERAMAH DALAM PERSIDANGAN ANTARABANGSA KONGRES GENETIK MALAYSIA 2021
Dr. Nik Serena Nik Zainal, penerima Hadiah Penyelidikan Kanser Dr. Josef Steiner 2019 (yang dianggap seperti “Noble prize in cancer research”), menyertai persidangan ini sebagai penceramah jemputan.
Persatuan Genetik Malaysia (PGM) dengan kerjasama Projek Variom Manusia Nod Malaysia (MyHVP) dan Human Variome Project International (HVP) akan menganjurkan Mesyuarat Tahunan Persatuan Genetik Malaysia dan Persidangan Antarabangsa Genetik Kongres Malaysia (MiGC) yang ke-14 pada 15-17 Mac 2021.
Buat julung kalinya pada tahun ini, MiGC diadakan secara maya dengan menggunakan platfom sokongan WebEx Cisco berikutan penularan wabak pandemik COVID-19.
MiGC14 yang bertemakan "Translating Genes for a Better Future" akan memfokuskan diskusi isu-isu terkini dalam bidang genetik di seluruh dunia yang meliputi kepelbagaian biodiversiti dalam kalangan manusia, tumbuhan dan juga haiwan serta satu simposium khas mengenai genetik berkaitan jangkitan COVID-19.
Persidangan ini menjadi platform dalam meningkatkan keterlibatan strategik dalam kalangan peserta dan penceramah jemputan untuk berkolaborasi dalam penyelidikan dan perkongsian pintar melalui hasil kajian yang telah diperolehi.
Ia sekaligus dapat meningkatkan pengetahuan dan pemahaman mengenai genetik bagi sesebuah negara, khususnya untuk mencapai tahap lebih maju dalam perawatan kesihatan dan penyelidikan.
Antara yang menarik, saintis kelahiran negara merangkap penerima Hadiah Penyelidikan Kanser Dr. Josef Steiner 2019 (yang dianggap seperti “Noble prize in cancer research“), Dr. Nik Serena Nik Zainal akan turut menyertai persidangan ini.
Beliau yang kini sedang berkhidmat di Jabatan Genetik Perubatan, Universiti Cambridge, United Kingdom dipilih sebagai penyampai Syarahan Mendel dalam persidangan ini yang turut menampilkan 20 orang penceramah ternama, berpengalaman dan berpengetahuan yang dijemput dari pelbagai negara seperti Eropah, Asia dan juga Asia Tenggara dan tidak ketinggalan, Malaysia.
Nik Serena memenangi hadiah Dr. Josef Steiner 2019 melalui kajian beliau yang bertajuk “Accelerating holistic cancer genome interpretation towards the clinic”, yang mana berdasarkan penelitiannya, mutasi pada tumor kanser dapat dianalisis menggunakan metodologi bioinformatik yang baharu yang memungkinkan pendekatan baru untuk terapi yang disasarkan kepada pesakit.
Beliau memulakan pengajiannya dalam PhD di Institut Wellcome Sanger, di mana beliau telah mempelajari cara untuk menganalisis keseluruhan urutan genom kanser manusia dan beliau juga pernah berkhidmat di institut tersebut dari 2013 - 2017 selepas dianugerahkan Wellcome Trust Intermediate Clinical fellowship pada tahun 2013. Beliau memperolehi PhD pada tahun 2012.
Selain itu, di alma maternya, University of Cambridge, beliau memperoleh kepujian kelas pertama dalam Tripos Sains Perubatan dan Veterinar pada tahun 1998 dan kemudiannya ijazah Perubatan Klinikal pada tahun 2000, sebelum dianugerahkan CRUK Advanced Clinician Scientist Fellowship pada tahun 2017.
Hasil kajian beliau juga telah banyak diterbitkan dalam jurnal berimpak tinggi seperti Nature (3 makalah sebagai pengarang pertama), Nature Genetics, Nature Communication, Nature Medicine, Nature Reviews, Nature Cell Biology dan Cell.
Selain Syarahan Mendel, pihak penganjur juga menyediakan dan menyusun pelbagai topik yang terdiri daripada Ucaptama oleh Dr. Hishamshah Mohd Ibrahim, yang merupakan Timbalan Pengarah Kesihatan Malaysia (Penyelidikan & Sokongan Teknikal) dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Tajuk ucaptama beliau adalah berkaitan polisi kesihatan secara umum di Malaysia.
Selain itu, terdapat 10 sesi pleno yang menampilkan penceramah jemputan bagi tiga trak utama iaitu Trak 1: Perubatan & Sains Kesihatan, Trak 2: Makanan & Pertanian, dan Trak 3: Perhutanan, Konservasi dan Biodiversiti.
Di samping itu, bagi meneroka dan lebih memahami tentang penularan wabak jangkitan COVID-19, satu sesi ceramah turut dimasukkan bertemakan genetik berkaitan jangkitan COVID-19.
Terdapat juga dua sesi bagi ceramah berkaitan teknologi yang akan disampaikan oleh syarikat berdaftar serta satu sesi forum khas berkaitan Halatuju Kerjaya dalam Bidang Genetik.
Selain daripada penceramah jemputan yang ditampilkan, persidangan ini juga memberikan peluang dan ruang kepada para peserta untuk membentangkan hasil kajian mereka sama ada melalui penyertaan pembentangan poster atau oral.
Penyertaan ke persidangan ini akan membantu para pelajar, ahli akademik dan golongan profesional dari segi pembinaan kapasiti, peningkatan kemahiran secara intensif dan memudahkan akses dalam kalangan peserta melalui sesi perkongsian pengalaman dan pengetahuan luas dalam bidang kepakaran masing-masing oleh para profesional terkemuka yang bakal hadir ke persidangan ini.
Sebarang maklumat lanjut, sila hubungi:
- Created on .
- Hits: 863