USM TUBUH PASUKAN KHAS PERKASA KOORDINASI TINDAKBALAS KECEMASAN
PULAU PINANG, 21 Januari 2021 – Universiti Sains Malaysia (USM) menubuhkan pasukan gerak kerja sukarela yang dikenali sebagai “USM Response Team (USM-RT)” bagi menangani hal-hal berkaitan kesejahteraan kampus khususnya di luar waktu rasmi pejabat.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Aldrin Abdullah berkata, USM-RT turut berperanan dalam mengkoordinasikan tindakan bersepadu dan berstruktur bagi memastikan kualiti kesejahteraan kampus dapat dijaga dengan baik.
Katanya, permasalahan berkaitan kesejahteraan warga kampus khususnya melibatkan urusan kecemasan, kebajikan, pengurusan risiko, pemantauan dan penguatkuasaan peraturan sedia ada perlu diselaras dengan terperinci dan efisien.
“Sistem perkhidmatan dan penyampaian sedia ada perlu ditingkatkan selari dengan perkembangan dan peranan pengurusan universiti yang semakin pesat dari aspek pembangunan fizikal, pertambahan aset, isu pengurusan staf serta pelajar yang semakin mencabar.
“Justeru, garis panduan dan tatacara tindakan secara kolektif yang teratur amat penting bagi memastikan setiap tindak balas yang diberikan adalah efisien dan selari dengan hasrat untuk meningkatkan tahap kualiti kesejahteraan kampus secara keseluruhan,” katanya.
Aldrin berkata demikian ketika berucap melancarkan pasukan USM-RT di sini baru-baru ini.
USM-RT adalah gabungan kerjasama di antara kakitangan dan para pelajar USM. Pasukan ini ditadbir urus secara bersama oleh Majlis Penggawa serta Penolong Penggawa dan Yang Dipertua Majlis Penghuni Desasiswa.
Pasukan ini turut dianggotai oleh lebih 100 keahlian meliputi sembilan desasiswa utama di seluruh kampus USM yang akan memberi tumpuan kepada usaha menjaga kesejahteraan, kebajikan dan kesihatan mental dalam kalangan warga USM.
Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Ebrahim Abdul Manan & Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 689