USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROF. DR. SYED AZHAR DILANTIK BANTU BANGUNKAN INDUSTRI HALAL DI MALAYSIA

IPPT BERTAM, 20 Januari 2021 – Profesor Dr. Syed Azhar Syed Sulaiman telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Program Malaysian Collaborative Network Platform for Disruptive Innovation (i-Connect) - Halal Supply Chain oleh Halal Development Corporation Berhad (HDC), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Syed Azhar, 59, yang kini merupakan Pengarah di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) akan membantu dalam membangunkan industri halal di negara ini menerusi program i-Connect yang mengambil masa lebih kurang 5 tahun untuk dijayakan.

WhatsApp_Image_2021-01-20_at_18.47.59.jpeg

Beliau ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana diberikan peluang bersama-sama dengan pakar-pakar lain di Malaysia bagi menerajui jawatankuasa ini.

“Pelantikan ini memberikan pengiktirafan buat USM secara amnya dan Halal Studies in Services, Research and Training, USM (HASRAT@USM) khususnya yang turut sama berganding bahu dengan pemain industri bidang halal lain di Malaysia bagi menjadikan USM sebagai wadah untuk kepelbagaian aspek perkhidmatan, penyelidikan serta latihan dalam bidang halal,” ujar beliau.

Beliau dilantik menjadi ahli jawatankuasa kepada program i-Connect Halal Supply Chain berdasarkan kepada pengalaman beliau dalam melaksanakan R&D&C&I selama ini.

Pelantikan itu membolehkan beliau berkongsi pandangan, ilmu dan kepakaran dalam bidang sains, teknologi dan inovasi, serta dalam mengkomersilkan produk dan perkhidmatan.

Program i-Connect ini akan mewujudkan platform jaringan kolaborasi bersama pemain industri, komuniti penyelidik, agensi kerajaan dan pertubuhan am untuk mengintensifkan “disruptive innovation” dengan membuka ruang dan peluang ekonomi baharu bagi pemain-pemain industri untuk menerima manfaat.

Menerusi program ini, projek-projek penyelidikan, pembangunan, inovasi dan pengkomersilan serta perancangan rapi pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi yang sesuai dengan keperluan rantaian bekalan Halal pada masa ini dapat dikenalpasti.

Sementara itu, USM serta warganya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas di atas pelantikan ini.

Ditubuhkan pada 18 September 2006, HDC merupakan penyelaras utama bagi menggalakkan penyertaan dan memudahkan pertumbuhan pemain industri dalam pembangunan ekosistem Halal Malaysia. Ia juga adalah agensi pembangunan industri halal yang pertama disokong kerajaan di dunia.

Teks: Mohd Faisal Jamaludin

  • Created on .
  • Hits: 961

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024