NC USM LANCAR PUSAT ”CHRONIC KIDNEY DISEASE”
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Mei 2013 – Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr. Omar Osman hari ini melancarkan Pusat Sumber Penyakit Buah Pinggang Kronik (Chronic Kidney Disease - CKD) Hospital USM.
Menurut Naib Canselor, penubuhan pusat sumber ini adalah tepat pada masanya dan mengharapkan USM dapat menggembleng seluruh kepakarannya yang ada bagi tujuan membantu para pesakit dan bakal pesakit pada masa hadapan.
“Malah, kita perlu berusaha untuk memudahkan kefahaman masyarakat terhadap hal seumpama ini melalui pelbagai cara termasuk penerbitan bahan-bahan bacaan yang dapat difahami oleh orang ramai,” kata Omar.
Tambahnya lagi, USM amat prihatin terhadap usaha pemindahan ilmu ini dan mengharapkan Hospital USM khususnya CKD dapat menjadikan pusat rujukan serantau malah menyediakan juga bahan-bahan dalam bentuk mobile yang dapat dimanfaatkan oleh orang ramai ketika mengunjungi hospital atau menunggu mendapatkan rawatan.
Konsep “mobile learning” yang membolehkan pengguna menggunakan tablet pintar dalam membuat rujukan dan diberikan secara pinjaman kepada pengguna telah dilaksanakan di Perpustakaan USM. Malah usaha pemindahan ilmu juga telah banyak dilakukan melalui lebih 200 projek yang dilaksanakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi melalui USM sebagai penyelaras utamanya.
“Adalah diharapkan USM dapat terus menerajui usaha ini dengan membantu pesakit yang belum sampai tahap kritikal untuk mendapat rawatan pencegahan,” kata Omar.
Sementara itu, menurut Penyelaras Pusat Sumber Chronic Kidney Disease (CKD) Dr. Azreen Syazril Adnan, penyakit buah pinggang kronik telah dikenalpasti sebagai pembunuh utama ketiga dalam kalangan rakyat Malaysia.
Berdasarkan statistik, di Hospital USM juga, jumlah pesakit yang disahkan mengidap penyakit buah pinggang kronik dan memerlukan rawatan dialisis turut meningkat dengan 4,526 kes pada tahun 2008 kepada 7,975 pada tahun 2012.
Secara purata kerajaan membelanjakan sebanyak RM2,500 hingga RM3,000 sebulan bagi memastikan pesakit buah pinggang menjalani rawatan dialisis.
Berikutan pertambahan bilangan pesakit yang memerlukan rawatan dialisis mencatatkan peningkatan yang ketara, jelas menunjukkan usaha pencegahan peringkat awal perlu dilakukan dengan lebih aktif.
Menurut Azreen, seseorang pesakit buah pinggang yang telah dikenalpasti dan dirawat pada peringkat awal akan mampu mengelakkan kos rawatan dialisis yang tinggi.
“Kerana itu penubuhan Pusat Sumber CKD menjadikan USM sebagai institusi ulung di negara ini yang menggerakkan konsep pencegahan penyakit buah pingang secara bersepadu dan multidisiplin dengan kepakaran daripada pelbagai bidang akan diintegrasi menggunakan kaedah terbaik untuk mengesan dan mencegah penyakit buah pinggang,” kata Azreen.
CKD ditubuhkan juga bertujuan untuk mengoptimumkan kos perawatan melalui kaedah gunasama peralatan dan integrasi perawatan pesakit, mewujudkan pusat sehenti dalam aspek perawatan pesakit, pendidikan pengamal perubatan dan kakitangan sokongan serta sumber maklumat terkini perawatan dan pencegahan penyakit buah pingang kronik, mewujudkan perkhidmatan baru yang lebih relevan, berimpak tinggi dan mampu membantu universiti menjana pendapatan menerusi perkhidmatan konsultansi, menjadi pusat latihan “Post Basic Nephrology” dan pelajar pasca siswazah serta subkepakaran nefrologi di samping mewujudkan pusat pangkalan data pesakit buah pinggang kronik.
Antara perkhidmatan baru yang disediakan di unit ini adalah perawatan harian atau ’Daycare Centre’, perkhidmatan berpotensi menjana pendapatan, pendidikan, konsultansi pesakit, paramedik, pengamal perubatan swasta di dalam Hospital USM serta perawatan Intervensional.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed, Pengarah Hospital USM, Dato’ Dr. Zaidun Kamari dan warga kampus kesihatan lainnya.
Pada sebelah petangnya, Naib Canselor turut mengunjungi Unit Hemodialisis Hospital USM bagi menyampaikan buah tangan kepada mereka yang sedang menjalani rawatan termasuk warga USM sendiri.
Pada awal paginya, Naib Canselor mengadakan lawatan kerja untuk melihat bangunan Pusat Kajian Haiwan Makmal yang telah siap pada tahun lalu yang berharga kira-kira RM26 juta. – Teks/Foto: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 2536