PRODUK DACE BANTU LINDUNGI PENULARAN COVID-19 BARISAN HADAPAN
BERTAM, 14 Januari 2021 - Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya menghasilkan peralatan pelindungan diri (PPE) yang diberi nama Dental Aerosol Containment Equipment (DACE) untuk mencegah penularan wabak COVID-19 dalam kalangan petugas pergigian di Malaysia.
Produk tersebut dibangunkan menerusi projek di bawah peruntukan geran antarabangsa daripada IEEE Humanitarian Activities Committee & IEEE Special Interest Group on Humanitarian Technology (SIGHT).
Projek diketuai oleh Dr. Fatanah Mohamad Suhaimi dan Dr. Husniyati Roslan daripada Kluster Sains Kraniofasial dan Biobahan, IPPT.
Menurut Dr. Fatanah, DACE berfungsi seperti PPE dan digunakan semasa doktor gigi merawat pesakit.
“Kebanyakan prosedur rutin pergigian melibatkan rawatan Aerosol Generating Procedure (AGP) yang menghasilkan titisan air dan aerosol bercampur dengan air liur dan darah yang boleh mengandungi virus.
“Keadaan ini berlaku akibat daripada penggunaan peralatan seperti ultrasonic scalers, air water syringes dan hanpis berkelajuan tinggi,” katanya.
Menurutnya lagi, jarak kedudukan antara pengamal pergigian dan pesakit yang dekat (kurang dari 1 meter) semasa menjalankan rawatan juga akan meningkatkan lagi risiko jangkitan.
“Jadi fungsi DACE ini adalah sebagai pelindung supaya titisan air dan aerosol tidak terpercik kepada doktor dan jururawat yang menjalankan prosedur tersebut,” katanya.
Produk berkenaan telah diuji penggunaannya oleh beberapa orang pakar pergigian di IPPT, dan terbukti keberkesanannya.
Seramai 20 orang sukarelawan yang merupakan staf IPPT sendiri termasuklah Pensyarah Pergigian, Juruteknologi Pergigian, Pembantu Pembedahan Pergigian, Jururawat dan Pegawai Sains terlibat dalam projek ini.
Produk yang dihasilkan ini telah disumbangkan kepada klinik-klinik pergigian di sekitar utara Semenanjung Malaysia.
Lebih 50 unit DACE telah disumbangkan kepada beberapa Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah dan Klinik Pergigian di kawasan Utara.
Antaranya ialah 20 unit di Pejabat Kesihatan Pergigian Kuala Muda/Sik dan 2 unit di Klinik Pergigian Pendang, Kedah. 14 unit di Klinik Pergigian Kulim manakala 5 unit lagi disumbangkan kepada Klinik Pergigian Kepala Batas, Pulau Pinang dan selebihnya disumbangkan kepada klinik pergigian swasta.
Sumbangan ini mendapat sambutan dan maklum balas yang sangat baik daripada ketiga-tiga klinik pergigian tersebut. Hal ini kerana, peralatan ini dapat membantu mereka untuk mencegah penularan wabak COVID-19 dalam kalangan petugas pergigian yang mempunyai risiko yang tinggi semasa menjalankan sesi rawatan.
Menurut Dr. Siti Rohayu Hamidi, wakil dari Klinik Pergigian Kepala Batas, sumbangan ini akan dapat mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19 dalam kalangan petugas pergigian di sini.
“Memandangkan Klinik Kesihatan Kepala Batas merupakan salah satu klinik kesihatan yang menjalankan ujian saringan pesakit COVID-19 dan menjadi tumpuan pesakit mendapatkan rawatan, penggunaan produk ini amat berguna kepada petugas-petugas kami,” katanya.
Selain itu, Dr. Rubiah wakil dari Klinik Pergigian Pendang berterima kasih atas sumbangan ini kerana ia membantu mengurangkan kos penyediaan peralatan yang perlu ditanggung oleh pihak klinik.
“Pihak kami amat berbesar hati menerima sumbangan peralatan ini kerana ia dapat menjimatkan kos perbelanjaan klinik untuk menghasilkan peralatan pelindungan diri bagi mencegah penularan wabak COVID-19 di Klinik Pergigian Pendang ini selain menjimatkan masa petugas kami,” katanya.
Pihak IPPT berharap semoga sumbangan tersebut dapat memberikan manfaat kepada petugas di klinik pergigian, khususnya untuk memerangi ancaman wabak COVID-19 dalam kalangan petugas barisan hadapan. Semoga usaha ini akan dapat membantu mencegah penularan COVID-19 di negara ini.
Teks: Mohd Faisal Jamaludin
- Created on .
- Hits: 949