ALUMNI BILIK 007 SUMBANG DANA, PERKASA KEMUDAHAN PENGINAPAN USM

PULAU PINANG, 14 Januari 2021 – Alumni yang pernah menginap di bilik bernombor 007, Desasiswa Harapan, Universiti Sains Malaysia (USM) kembali berbakti kepada alma maternya apabila menyumbang RM10,000 untuk program ‘Adopt Your Hostel Room’ (AYHR) yang mula diperkenalkan Universiti tahun lalu.

WhatsApp_Image_2021-01-14_at_18.43.30.jpeg

Beliau ialah antara alumni terbilang USM yang kini membarisi kepimpinan negara sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Alam Sekitar dan Air, Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad.

Masrizal berkata, beliau terpanggil untuk menyumbang kepada program berkenaan atas rasa kepunyaan yang tinggi kepada Universiti yang telah banyak mengajar dan mencorak perjalanan hidupnya sehingga ke tahap sekarang.

Katanya, walaupun telah lama meninggalkan alam kampus iaitu pada tahun 1996, suasana di sekitar USM masih tidak jauh berubah dan beliau kagum dengan pengurusan USM yang sentiasa memelihara keindahan kampus yang terkenal dengan jolokan sebagai Universiti dalam taman itu.

“Keunikan USM terlalu banyak untuk diceritakan. Antara tempat yang masih segar dalam ingatan saya sudah semestinya bilik saya di Harapan dan juga laluan pelajar di sepanjang perpustakaan sehingga ke Dewan Kuliah RSTU,” ujar beliau yang juga graduan jurusan Pendidikan (B.A Ed 1996).

Masrizal menyerahkan sumbangan berkenaan kepada Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah dalam majlis ringkas di pejabat beliau, baru baru ini.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Penyelaras Pusat Pembangunan Alumni USM, Sharifah Darweena Syed Ahmad Amir Feisal.

Aldrin dalam pada itu berkata, USM sentiasa meningkatkan usaha untuk mendekati para alumninya bagi sama-sama memperkasa pembangunan Universiti, khususnya bagi meningkatkan fasiliti yang digunakan untuk kesejahteraan pelajar.

“Kita perkenalkan program AYHR bagi menaiktaraf penginapan desasiswa menjadi lebih eksklusif dan kondusif, memandangkan wujudnya permintaan untuk kemudahan yang lebih selesa dari para pelajar.

“Dalam masa yang sama, penjanaan kewangan daripada bilik-bilik yang dikategorikan sebagai premium ini akan digunakan pula untuk menaiktaraf bilik-bilik lain agar kemudahan penginapan USM berada pada tahap terbaik untuk seluruh para pelajarnya,” ujar beliau lagi.

Aldrin berkata, selain meningkatkan kualiti kemudahan penginapan, program unik itu turut memberi peluang kepada alumni kembali berbakti kepada USM serta memupuk nilai #SayaSayangUSM kepada pelajar semasa.

“Hasrat USM adalah untuk memperkenalkan konsep Global Village melalui Distinguished Learning with Conducive Learning and Living Facilities.

“Justeru AYHR diperkenalkan untuk mewujudkan keselesaan dan suasana yang kondusif, pada masa yang sama dapat menyumbang kepada pembangunan infrastruktur bagi kemudahan pelajar melalui sumbangan daripada alumni dan pihak luar,” katanya.

WhatsApp_Image_2021-01-14_at_18.43.46.jpeg

Bagi mana-mana pihak yang berminat untuk menyumbang kepada program AYHR, sila hubungi Pusat Pembangunan Alumni di talian 04-6534790/4792 atau emel: This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..

Teks: Marziana Mohamed Alias 

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015