USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

AMANAT MENTERI PENGAJIAN TINGGI 2021: ENAM FOKUS STRATEGIK TINGKATKAN LAGI MUTU, PRESTASI PENDIDIKAN TINGGI NEGARA

Tema: Menginspirasi Minda, Mendakap Kehebatan

PUTRAJAYA, 8 Januari 2021 - Majlis Amanat Menteri Pengajian Tinggi tahun 2021 telah berlangsung dengan jayanya kelmarin di Dewan Za’ba, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di sini.

amanat.jpg

Dalam ucapan amanatnya di majlis tersebut yang juga acara pembuka tirai tahun 2021 KPT, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua warga KPT atas sokongan dan kejayaan yang diraih sepanjang tahun 2020.

YB Menteri turut menggariskan enam fokus strategik dalam meningkatkan lagi mutu dan prestasi pendidikan tinggi negara, iaitu:

Slide_Ucapan_YBM_Page_29.jpg

 i.  Memperkasakan Agenda Pendigitalan Pendidikan iaitu memanfaatkan teknologi digital menerusi Massive Open Online Learning, Open Educational Resources, Flipped Classroom Online dan sebagainya.

ii.  Memantapkan Jaringan Kolaborasi Strategik dengan menjalinkan kerjasama dengan pihak industri melalui pelbagai inisiatif seperti Sesi Dialog Industri, Program 2u2i, Persidangan Meja Bulat dan sebagainya.

iii. Memperkukuh Kebolehpasaran Graduan dalam menyediakan peluang pekerjaan baharu dan menangani isu pengangguran.

iv. Memacu Kesejahteraan Komuniti yang menekankan keperluan untuk menggiatkan sumbangan beyond academics kepada komuniti.

v. Mempersada Kecemerlangan Institusi dengan memberi naratif baharu kepada model bisnis syarikat induk/holdings dan anak-anak syarikat Universiti Awam serta memastikan peranan mereka diperkasakan.

vi.  Menyemarakkan Semangat #KPTPrihatin dengan menerapkan elemen kebajikan kepada graduan IPT dan warga kerja KPT.

 Beliau percaya bahawa dengan keenam-enam fokus strategik tersebut, kita akan dapat mendepani cabaran tahun 2021 ini dengan lebih yakin, serta menjadi penggerak kepada pembangunan modal insan/bakat yang kreatif dan inovatif bagi memenuhi keperluan masa hadapan Malaysia.

Menurut YB Menteri lagi, enam fokus itu kemudiannya akan dilaksanakan dengan menerapkan nilai organisasi yang dikenali sebagai 5S iaitu Speed, Synergy, Solidarity, Strategic dan Standard yang perlu diamalkan oleh setiap warga KPT dalam menyampaikan perkhidmatan kepada kumpulan sasaran/pemegang taruh.

Slide_Ucapan_YBM_Page_30.jpg

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi rangkuman pencapaian KPT pada tahun 2020, yang sebahagian besarnya ada kaitan dengan situasi wabak pandemik COVID-19, antaranya misi penghantaran pulang pelajar Institusi Pendidikan Tinggi (IPT), penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN, peruntukan RM41.2 juta bagi bantuan pelan data dan peranti kepada pelajar B40, pengurangan yuran tertentu di IPTA dan berjaya membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memanfaatkan teknologi, kepakaran dan fasiliti yang dimiliki oleh KPT melalui Hospital Pengajar Universiti (HPU).

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan turut menghadiri majlis tersebut bersama beberapa pegawai tinggi universiti dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM.

vcamnt

Beliau bersama Naib Canselor/Rektor dari 19 Universiti Awam yang hadir turut menerima sijil penghargaan dan cenderamata daripada YB Menteri, sebagai tanda penghargaan atas kepimpinan mereka menerajui universiti masing-masing menempa pelbagai kejayaan yang membanggakan di peringkat nasional dan antarabangsa di sepanjang tahun 2020.

Turut menerima pengiktirafan dari KPT ialah pensyarah dari Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) USM, Profesor Madya Dr. Oon Chern Ein yang dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Cemerlang (P.P.C.) atas kecemerlangan luar biasanya dalam tugas pelbagai rentas meliputi penyelidikan, pengajaran, perundingan khidmat pakar dan penerbitan termasuk penglibatan sumbangan kesukarelawanan di luar tugas rasmi.

IMG 20210108 WA0138

Majlis Amanat YB Menteri pada tahun ini dijalankan dengan sedikit kelainan iaitu secara hibrid, yang mana kehadiran bersemuka di dewan dihadkan dan mematuhi dengan ketat prosedur operasi standard (SOP) COVID-19, dan selain itu ia turut ditayangkan secara langsung melalui FB Live KPT (MOHEOfficial) untuk tontonan warga KPT dan khalayak ramai.

Teks: Tan Ewe Hoe (sumber daripada Ucapan dan Slaid Amanat YB Menteri)

  • Created on .
  • Hits: 1979

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024