USM TERIMA SUMBANGAN RM280,000 UNTUK BELI MESIN HEMODIALISIS
KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Mei 2013 - Universiti Sains Malaysia (USM) menerima sumbangan peribadi dari keluarga Perdana Menteri bernilai lebih daripada RM280,000 untuk membeli mesin hemodialisis di Hospital USM di sini. Sumbangan disampaikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor kepada Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman dalam satu majlis khas.
”Ini adalah sumbangan khas daripada bakal menantu saya kepada rakyat Kelantan untuk membeli lima unit mesin hemodialisis di samping dua lagi mesin untuk penduduk Jeli,” kata Rosmah pada majlis tersebut.
Beliau menyeru agar masyarakat menghargai kesihatan, mencegah daripada mula dijangkit pelbagai penyakit berbahaya, mengurangkan penggunaan gula dan mengamalkan cara hidup sihat termasuk banyak melakukan senaman kecergasan dan mengurangkan tekanan hidup.
Terdahulu, Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Mafauzy Mohamed menjelaskan, Unit Hemodialisis Hospital USM terletak di blok Fasa 2 bersebelahan dengan Unit Forensik. Unit ini berkeluasan 4,500 kaki persegi yang mula beroperasi pada bulan Februari 1997.
Sejak bulan Februari 1997, Unit Hemodialisis memberi perkhidmatan kepada staf, tanggungan HUSM, Program Ehsan, Pesakit Tumpang (rujukan dari Pusat Dialisis Swasta Dan Bukan Badan Kerajaan) serta pesakit akut di dalam wad sehingga sekarang.
“Perkhidmatan rawatan yang disediakan di Unit Hemodialisis Hospital USM sekarang dijalankan dalam dua sesi iaitu sesi pertama bermula pada jam 7.30 pagi dan kedua pada jam 12.00 tengah hari,” kata Mafauzy.
Seramai 6,067 orang pesakit menerima rawatan pada tahun 2011 dan pada tahun lalu jumlahnya ialah 7,975 orang pesakit menerima rawatan, peningkatan sebanyak 1,908 orang pesakit.
“Kini Hospital USM mempunyai sebanyak 25 buah mesin hemodialisis yang beroperasi sepenuhnya untuk memberi rawatan kepada pesakit yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang dan beberapa penyakit lain,” jelas Mafauzy.
Antara yang hadir di majlis ini ialah Dato’ Hajjah Tengku Rozan Binti Al-Marhum Sultan Yahya Petra, Dato’ Hajjah Tengku Salwani Binti Al-Marhum Sultan Yahya Petra dan Pengarah Hospital USM, Dato’ Dr. Zaidun Kamari. – Teks/Foto: Mohamad Abdullah
- Created on .
- Hits: 2383