USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NASKHAH TRANSFORMASI ORGANISASI KINI DALAM BAHASA JEPUN

Buku pertama dari Penerbit USM yang berjaya diterjemahkan ke bahasa Arab dan bahasa Jepun

PULAU PINANG, 8 Januari 2021 - Buku bertajuk Transformasi Organisasi, Konsep dan Teknik Pelaksanaan terbitan Penerbit Universiti Sains Malaysia (USM), terkini telah diterjemahkan ke Bahasa Jepun dan akan mula memasuki pasaran negara matahari terbit itu dalam tempoh terdekat.

WhatsApp_Image_2021-01-15_at_07.09.52.jpeg

Cetakan versi pertama dalam bahasa Jepun itu dibuat dengan kerjasama Penerbit USM, Japan Malaysia Association (JMA) serta Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan ianya akan dipasarkan oleh pihak Kinokuniya.

Naskhah yang mencetuskan dimensi baru dengan memperincikan kaedah dan teknik pelaksanaan transformasi organisasi yang mudah difahami dan diaplikasikan itu adalah hasil karya penulis USM merangkap Pendaftar, Dr. Musa Ali.

Musa dalam masa yang sama turut menggalas jawatan Pengarah di Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) USM, yang berkredibiliti dalam menganjurkan pelbagai program latihan dan pembangunan berasaskan model kompetensi.

Pengarah Penerbit USM, A’watif Ahmad ketika dihubungi berkata, naskhah berkenaan memuatkan informasi yang amat diperlukan oleh pemimpin organisasi, khususnya ketika berdepan dengan tekanan berterusan untuk melakukan perubahan.

“Kandungannya memberi pelbagai input khasnya dalam mengaplikasikan kaedah terbaik ketika organisasi harus terus mencari jalan untuk meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan dengan sumber yang berkurangan,” ujar beliau.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga kerana buku Transformasi Organisasi yang mula diterbitkan dalam Bahasa Melayu pada 2014 turut menjadi yang pertama dari Penerbit USM yang berjaya diterjemahkan ke bahasa Jepun dan Arab (2019).

Dalam pada itu, Musa turut menzahirkan rasa teruja kerana hasil karyanya itu kini boleh didapati dalam empat bahasa termasuk bahasa Malaysia, Inggeris (2017), Arab dan terkini Jepun (2021).

Mengulas lanjut berkenaan buku itu, beliau berkata, intipatinya menjurus kepada kaedah paling efisien dalam menguruskan transformasi organisasi, menterjemahkan hala tuju organisasi sekaligus menginstitusikan dan menjadikan transformasi sebagai budaya dalam kalangan anggota organisasi.

“Ketua eksekutif, pengurus, pentadbir dan pegawai yang terlibat dalam usaha membantu melaksanakan agenda transformasi di organisasi masing-masing tentunya akan mendapat manfaat daripada penulisan buku ini,” ujar beliau.

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1016

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024