USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROF. MADYA DR. OON CHERN EIN TERIMA ANUGERAH PINGAT PERKHIDMATAN CEMERLANG KPT

IMG 20210108 WA0138

PUTRAJAYA, 7 Januari 2021 – Pensyarah dan penyelidik muda Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr. Oon Chern Ein berjaya mengharumkan nama USM apabila menjadi satu-satunya wakil tunggal universiti dianugerahkan Pingat Perkhidmatan Cemerlang (P.P.C.) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Malaysia.

Penganugerahan pingat tersebut disampaikan sendiri oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad kepada Oon atas kecemerlangan luar biasa beliau dalam tugas pelbagai rentas penyelidikan, pengajaran dan penerbitan termasuk penglibatan sumbangan kesukarelawanan di luar tugas rasmi.

Pingat yang diterima Oon itu dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong melalui statut Pingat Perkhidmatan Cemerlang dan adalah diiktiraf sebagaimana pingat-pingat lain yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan ia boleh dipakai semasa menghadiri sesuatu majlis rasmi.

Ketika ditemui selepas penganugerahan pingat, Oon, pensyarah di Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) USM berkata, ini merupakan pengiktirafan yang amat tinggi buat beliau atas minat dan iltizamnya bagi menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan termasuklah menyumbang kepakaran beliau dalam kerja-kerja amal di luar tugas rasmi.

“Sememangnya saya tidak menyangka dan amat menghargai pihak KPT atas pemilihan saya sebagai penerima Pingat Perkhidmatan Cemerlang, jadi sudah semestinya penganugerahan tertinggi ini akan melonjakkan semangat saya untuk lebih berjaya dalam penyelidikan, penerbitan dan kerja amal terutamanya buat pesakit-pesakit yang bertarung nyawa dengan penyakit kanser,” kata Oon di Majlis Amanat Menteri Pengajian Tinggi 2021 di Dewan Za’aba, KPT, di sini hari ini.

IMG 20210108 WA0137

Oon, 37 tahun, selain cemerlang di dalam tugasnya selama 8 tahun sebagai pensyarah dan penyelidik di USM, beliau juga aktif bersama Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM bekerjasama dengan Majlis Kanser Nasional (MAKNA) bagi mendidik orang ramai terutamanya pesakit-pesakit yang sedang bertarung nyawa dengan kanser serta bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelawanan untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

“Sememangnya kepakaran yang saya miliki ini bukanlah untuk saya sendiri malah perlu dikongsikan dengan insan yang memerlukan di luar sana, terutamanya membabitkan pesakit-pesakit kanser kerana bidang yang saya pelajari iaitu ‘Onkologi Molekul’ banyak berkaitan dengannya dan selagi mampu saya akan berusaha membantu mereka yang mengidap penyakit tersebut,” jelas beliau lagi.

Beliau juga banyak menganjurkan bengkel bersama pelajar, penerbitan artikel ilmiah di majalah-majalah dan surat khabar bagi memberi pemahaman jelas dan mudah kepada masyarakat mengenai kesedaran awal membendung penyakit kanser, dan kaedah diagnosis dan terapi.

Pada masa yang sama, Oon juga berharap supaya bidang kajian terapi sasaran molekul akan terus berkembang mantap di Malaysia kerana bidang ini merupakan asas kepada Precision Medicine’.

“Konsep pendekatan ‘Precision Medicine’ menggunakan maklumat genetik untuk strategi pencegahan dan rawatan penyakit yang lebih berkesan, dan banyak negara telah memulakan inisiatif ini termasuk Malaysia yang menjalankan beberapa kajian penjujukan genom.

Hasil pencarian ini boleh diaplikasi untuk meramal kesesuaian pesakit untuk menerima rawatan berdasarkan ekspresi protein tertentu (terapi sasaran molekul),” jelas beliau lagi.

Di akhirnya Oon berkata trend rawatan kanser terkini banyak menjurus kepada rawatan kanser berdasarkan profil mutasi, bukan hanya semata-mata melihat kepada jenis barah itu sendiri.

IMG 20210107 WA0330

Apa yang lebih membanggakan, Oon sebelum ini juga telah menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa atas kecemerlangan beliau, antaranya:

i)  Loreal-UNESCO for Women in Science (2015).

ii)  MAKNA Cancer Research Award (2016).

iii)  Saintis Muda Negara 2018 oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

iv)  Wanita Malaysia pertama memenangi Woman of the Future Award (WOF) Asia Tenggara (UK) atas usaha beliau dalam bidang penyelidikan dan berharap mampu memperkasakan wanita bagi mencapai keadilan dan kesaksamaan dalam kemajuan kerjaya terutamanya bidang Sains (2018).

v)  Anugerah Akademik Harapan Negara (Kementerian Pendidikan Tinggi) (2019).

vi)  Malaysian Invention and Design Society (MINDS) Young Women Scientist Award (2020).

vii)  British Council Study UK Alumni Awards (Professional Achievements Category) (2020).

Text: Mohd Azrul Mohd Azhar/Infografik: Ebrahim Abdul Manan/Foto: Mohd Fairus Md Isa    

  • Created on .
  • Hits: 823

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024