NC SERU WARGA UNIVERSITI TUNAI TANGGUNGJAWAB
PULAU PINANG, 3 Mei 2013 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dato' Dr. Omar Osman menyeru seluruh warga universiti menunaikan tanggungjawab kepada negara dengan keluar mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada hari Ahad ini.
"Ini adalah masa untuk kita bersama-sama membuat pilihan yang betul dalam menentukan kepimpinan negara yang akan membawa ke hadapan sebagai sebuah negara maju dalam acuan sendiri, meneruskan kestabilan dan keharmonian demi kelangsungan rakyat dan kedaulatan negara."
Tambahnya lagi, sebagai rakyat, ini adalah masanya untuk membuat pilihan yang betul dan bijaksana dengan memilih mereka yang menjulang nilai ilmu dan berupaya melonjakkan lagi keutuhan sebuah negara bangsa yang bersatu padu dalam kepelbagaian yang ada bukan semata-mata mengikut perasaan.
Naib Canselor turut menasihatkan seluruh warga USM untuk tidak terlibat dalam perkara-perkara yang boleh mengancam ketenteraman awam dalam bentuk apa pun menjelang PRU13 ini.
"Adalah juga menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengelakkan apa jua bentuk provokasi dan tindakan yang boleh menimbulkan ketegangan sesama kita," kata Omar.
Warga USM juga diseru untuk berhati-hati memandu di jalan raya terutamanya dalam kalangan mereka yang melakukan perjalanan yang jauh.
"Berehatlah seketika jika berasa mengantuk dan letih kerana cuai seketika ketika memandu boleh membawa kesan buruk kepada diri dan orang lain jika berlaku kemalangan," tegas Omar.
Warga USM dan orang ramai turut mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat untuk memohon agar Allah s.w.t memberikan kerahmatan dan kesejahteraan kepada negara dan rakyat negara ini.
(MOHAMAD BIN ABDULLAH)
Pejabat Naib Canselor
- Created on .
- Hits: 1542