USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-ADU JALIN KERJASAMA TINGKAT KUALITI PENYELIDIKAN DAN KEBOLEHPASARAN MAHASISWA

SHR 2470

PULAU PINANG, 29 Disember 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Abu Dhabi University (ADU), Emiriah Arab Bersatu (UAE) hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) yang diadakan secara dalam talian.

Melalui perjanjian tersebut, Pusat Pengajian Komunikasi USM dan College of Arts & Sciences ADU akan berkongsi kepakaran untuk membangunkan penyelidikan dan kebolehpasaran mahasiswa dari kedua-dua institusi.

Ini termasuk pertukaran kepakaran staf akademik dan pelajar, kerjasama pembangunan program akademik, penyelidikan dan pembangunan, penganjuran bengkel serta seminar bersama dan penerbitan ilmiah.

Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, kerjasama kedua-dua pihak ini amat penting dalam agenda memantapkan kualiti pendidikan tinggi yang disediakan untuk mahasiswa sekaligus memberikan mereka peluang menerokai kemahiran, budaya dan kelainan bidang pengkhususan dari kedua-dua buah negara.

“Bagi pihak USM, saya amat menghargai jalinan kolaborasi antarabangsa ini dan menjadi harapan saya kedua-dua pihak dapat memanfaatkan usahasama ini bagi tujuan meningkatkan kualiti akademik dan reputasi penyampaian pendidikan tinggi kedua-dua buah negara keseluruhannya," jelas beliau.

Jelas Faisal Rafiq lagi, pihak USM sentiasa bersedia menghulurkan bantuan yang berkaitan dan diperlukan kepada ADU dan bersedia menerima pelajar, staf mahupun delegasi ADU yang ingin menuntut kepakaran yang USM miliki.

SHR 2467

Pada majlis yang sama, Canselor ADU, Profesor Dr. Waqar Ahmad berkata, pihak ADU menghargai kesudian USM berkolaborasi dengan berkongsi kepakaran sumber manusia dan material serta ilmu dan pengalaman yang sedia ada bersama dengan pihak ADU dan sudah semestinya mengharapkan impak yang positif pada masa akan datang antara kedua-dua pihak.

“Saya berharap kerjasama di antara kedua-dua universiti bakal memberikan impak positif seperti yang disasarkan selain membantu institusi memahami amalan dan budaya kedua-dua buah negara dengan lebih baik,” kata beliau.

Majlis penandatanganan MoA ini telah diadakan secara dalam talian di Bilik Persidangan Canselori, Bangunan Canselori 1, USM yang turut dihadiri oleh wakil Pusat Pengajian Komunikasi USM diketuai oleh Dekan Dr. Nurzali Ismail; Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa), Profesor Madya Dr. Bahiyah Omar; Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Libatsama Industri-Komuniti), Profesor Madya Dr. Juliana Abdul Wahab dan para pegawai pusat pengajian.

SHR 2489

Manakala di pihak ADU, yang turut serta dalam majlis ialah Provost, Profesor Thomas. J. Hochstettler; Dekan College of Arts & Sciences, Dr. Sreethi Nair; dan Profesor Madya Dr. Nunna Prasad dari College of Arts & Sciences.

Diasaskan pada tahun 2003, Abu Dhabi University merupakan universiti swasta yang paling besar di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan menawarkan program ijazah pertama dan ijazah tinggi berdasarkan model pendidikan tinggi Amerika Syarikat. Ia mempunyai empat kolej dan sebuah institut Bahasa Inggeris. Pada masa kini, terdapat seramai 8,000 pelajar daripada 70 buah negara.

IMG 0030

Teks: Nurul Huda Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md Isa & Shahnizam Ab Rahim

  • Created on .
  • Hits: 751

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024