USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENULISAN KREATIF TONJOL SISI BERBEZA PETUGAS PERUBATAN DAN KESIHATAN

USM KUBANG KERIAN, KELANTAN, 29 Disember 2020 – Menyedari kekurangan bahan bacaan berkaitan penyakit dan rawatan dalam bentuk penulisan kreatif mendorong tercetusnya idea penulisan karya kreatif dalam kalangan petugas perubatan dan kesihatan, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM).  

Antologi Cerpen 'Isteriku 46 XY' serta novel 'Isabella Adriani' dan 'Cinta Nan Bersemi Kembali', merupakan tiga buah buku yang dilancarkan hari ini hasil penulisan terbaharu di bawah bimbingan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang diterbitkan.

WhatsApp_Image_2020-12-30_at_12.10.44.jpeg

Menurut Ketua Projek Penulisan DBP-USM, Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain, kekurangan maklumat berkaitan kesihatan dan perubatan dalam Bahasa Melayu sebagai bahan rujukan perlu dipandang serius apatah lagi buku serta novel ilmiah berkaitan perubatan amat sukar ditemui di pasaran.

WhatsApp_Image_2020-12-30_at_12.10.44_1.jpeg

“Sebagai seorang pensyarah dan doktor perubatan, saya merasa terpanggil untuk menghasilkan penulisan dalam usaha memberikan maklumat yang mudah difahami masyarakat umum berkaitan sesuatu penyakit khususnya penyakit yang mereka hidapi.  

“Antologi cerpen dan novel yang dilancarkan pada hari ini merangkumi pelbagai bidang perubatan antaranya Kesihatan Wanita, Perubatan Keluarga, Psikiatri serta Telinga, Hidung dan Tekak," ujarnya.

Menurut Nik Hazlina, bukan mudah untuk beliau menyakinkan rakan-rakan yang lain bagi menghasilkan karya kreatif seperti ini kerana kebanyakan daripada mereka lebih cenderung menghasilkan penulisan dalam Bahasa Inggeris disebabkan istilah bidang perubatan agak sukar diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.

Sementara itu, Pensyarah Perubatan, Jabatan Otorinolaringologi, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Irfan Mohamad yang menyampaikan ucapan mewakili semua penulis berkata, idea menghasilkan antologi cerpen adalah tindakan spontan semasa menyertai bengkel penulisan di bawah kelolaan DBP.

WhatsApp_Image_2020-12-30_at_12.10.45.jpeg

“Pada mulanya kami sekadar ingin belajar menulis, tapi tidak disangka rupanya ramai dalam kalangan kami menyimpan pelbagai cerita dan kisah menarik bersama pesakit yang kami rawat, dan masing-masing meluahkan segalanya di dalam bentuk penulisan sehingga ada yang sempat menyiapkan satu cerpen sepanjang bengkel satu hari.

“Selepas itu, kami hanya murnikan dari segi tatabahasa, mencantikkan bahasa dengan menambah nilai-nilai ekstetika dan kesusasteraan tetapi menggunakan gaya serta lenggok bahasa yang mudah agar masyarakat umum boleh memahami maksud yang ingin kami sampaikan dan supaya ianya tidak menjadi bahan bacaan yang kaku, berat dan hanya difahami oleh ahli akademik sahaja,” katanya.

Menurut Irfan lagi, sebagai penulis, beliau mengharapkan apa yang diceritakan dapat dijadikan panduan oleh masyarakat kerana mereka tidak perlu melalui kisah yang perit untuk belajar sesuatu yang baharu dan boleh belajar dari kisah silam orang lain untuk memperbaiki cara menangani masalah kesihatan mereka.

Irfan turut mengalu-alukan warga kampus yang berminat untuk menghasilkan karya kreatif sebegini, tidak kira apa juga jawatan kerana penghasilan antologi cerpen kali ini bukan dari kalangan pakar perubatan sahaja malahan turut disertai oleh Guru Bahasa dan Juruteknologi Makmal Perubatan yang mana walaupun mereka tidak merawat pesakit secara langsung tetapi terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran pelajar perubatan atau aspek-aspek pekerjaan di makmal, dan setiap sisi dalam kehidupan mereka boleh dikongsi dengan masyarakat luar.

Sebagai rekod, setakat ini sebanyak sembilan judul telah diterbitkan hasil Bengkel Penulisan Karya Kreatif Bidang Perubatan dan Kesihatan yang diadakan oleh Bahagian Buku Sastera (DBP) dengan kerjasama USM sejak tahun 2013. Cerpen, puisi dan sajak yang ditulis juga diterbitkan dalam majalah Dewan seperti Dewan Masyarakat, Pelita Bahasa, Tunas Cipta dan sebagainya.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto: Abdul Hasib Abdul Rahman

  • Created on .
  • Hits: 934

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024