DUA PASUKAN USM MENANG PERTANDINGAN CABARAN INOVASI GLOBAL SEA-GIC 2020
PULAU PINANG, 7 Disember 2020 - Dua dari tiga pasukan dari Universiti Sains Malaysia (USM) memenangi tempat ketiga dan hadiah saguhati (tempat kelima) dalam South East Asian-Global Innovation Challenge 2020 (SEA-GIC 2020) yang peringkat akhirnya berlangsung pada 3 Disember 2020 yang lalu secara maya.
Program ini dianjurkan oleh American Chemical Society (ACS) Malaysia Chapter kolaborasi bersama ACS UTP dan UTP (Universiti Teknologi Petronas).
Pasukan dari Pusat Pengajian Sains Kimia yang dianggotai oleh Shirley Ooi Yee Shyen, Koo Pooi Ling dan Chai Jia En memenangi tempat ketiga melalui projek mereka bertajuk "Conversion of Dissolved CO2 into Electrical Energy Using an Electrochemical Method". Ketiga-tiga pelajar tahun akhir itu diselia oleh Dr. Hairul Hisham Hamzah and Dr. Mardiana Saaid.
Dengan kemenangan itu, mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM500 bersama trofi dan sijil.
Pasukan dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia yang dianggotai oleh tiga pelajar tahun ketiga iaitu Teoh Wei Xin, James Law Ka Chun dan Teh Yoong Sin di bawah seliaan Dr. Masrina Mohd Nadzir,memenangi tempat kelima (sagu hati) melalui projek mereka "Next Generation Carbon Capture and Storage: Chemical Looping with Oxygen Uncoupling (CLOU)".
Sebanyak 63 pasukan mewakili universiti awam dan swasta mengambil bahagian dalam pertandingan itu yang sebahagian besarnya dari Indonesia, Brunei dan Malaysia.
Setiap pasukan dikehendaki membentangkan projek mereka masing-masing dalam sesi ‘pitching’, berkisar di sekitar tajuk ‘Perubahan Iklim’ merangkumi subtajuk seperti berikut - tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan, penggunaan CO2, kimia hijau berfokus kepada pencegahan pencemaran, dan bangunan hijau.
Teks: Mazlan Hanafi Basharudin/Foto: Sumbangan Shirley Ooi Yee Shyen & Teoh Wei Xin
- Created on .
- Hits: 868