USM TAWAR SIRI KURSUS LATIHAN PROFESIONAL APLIKASI IoT KHAS KEPADA PEKERJA SONY SECARA PERCUMA
PULAU PINANG, 19 Disember 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) melalui SAINS@ALORSETAR akan menawarkan kursus Professional Training Series: Fundamental of IoT Application for Industry and Education - Introduction to Arduino Platform khas kepada staf SONY Pulau Pinang secara percuma pada 2 Januari 2021.
Kursus tersebut yang akan dikendalikan melalui kaedah dalam talian Webex dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari (2 jam), adalah hasil kolaborasi bersama rakan strategik USM iaitu Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
Kursus ini juga adalah tindakan susulan kepada kenyataan yang dikeluarkan USM pada 10 Disember 2020 yang lalu bahawa USM bersedia menawarkan peluang latihan semula kemahiran (reskilling) kepada pekerja yang berpotensi terjejas, berikutan pengumuman syarikat SONY untuk menutup kilang audionya di Pulau Pinang.
Ia juga adalah sejajar dengan hasrat dan misi USM, seperti yang dinyatakan Naib Canselornya, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, untuk terus komited dalam membantu Malaysia mengembangkan kemahiran tempatan; dan latihan semula dilihat boleh menjadi satu daripada pilihan bagi memastikan bakat kemahiran tempatan boleh terus dipupuk dan laluan kerjaya boleh dirancang semula.
Katanya lagi, pihak USM sedang mengkaji kemungkinan menawarkan kursus jangka pendek seperti Internet of Things (IoT), Analisis Perniagaan (Business Analytics), Kesinambungan Perniagaan (Business Continuity), Keselamatan Pekerjaan dan sebagainya, di peringkat sijil.
"Kebanyakan kursus akan dijalankan di kemudahan USM di Alor Setar serta Kulim, dan ia boleh diakses secara dalam talian; dijalankan tanpa dikenakan sebarang bayaran bagi pekerja Sony yang terkesan dengan penutupan kilang,” tambah Faisal Rafiq.
Beliau berkata USM juga sedang melihat kemungkinan menyerap petugas berpotensi dari pasukan penyelidikan Sony di Pulau Pinang.
Pada awal bulan ini, Sony Corp mengumumkan bahawa mereka akan menyepadukan operasi perkilangannya dengan memindahkan operasinya di Pulau Pinang ke Selangor bagi meningkatkan lagi keefisienan operasi.
Operasi di kilang Pulau Pinang akan ditamatkan pada penghujung Sept 2021, sebelum ditutup sepenuhnya pada bulan Mac 2022, dan ia akan mengakibatkan 3,600 orang kehilangan pekerjaan.
Pautan pendaftaran untuk siri kursus latihan profesional tersebut di atas adalah https://forms.gle/Yp9RetXusoYnaZh2A.
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut, boleh menghubungi wakil SAINS@ALORSETAR, Ts. Mohamad Shaiful di talian 019-4358156.
Teks: Farrah Ezlin/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 994