PKPB BUKAN PENGHALANG KEPADA WARGA USM DERMA DARAH, 212 PEK DARAH BERJAYA DIKUMPUL
USM, PULAU PINANG, 23 Disember 2020 - Walaupun kes-kes positif wabak pandemik COVID-19 semakin meningkat di Pulau Pinang dan berkuatkuasanya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun ia tidak mematahkan semangat warga Universiti Sains Malaysia (USM) untuk menyertai Program Derma Darah yang diadakan pada bulan lalu di kampus induk USM.
Program tersebut adalah anjuran Pusat Sejahtera USM bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USM dan Hospital Pulau Pinang (HPP), dan ia diadakan sebanyak dua kali, iaitu pada 23 November 2020 dan kemudian pada 30 November 2020 di Dewan Utama Pelajar A di sini, dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang.
Yang diadakan pada 23 November, seramai 128 pek darah telah diperoleh daripada 128 penderma terdiri daripada 104 pelajar yang tinggal di desasiswa USM dan 24 staf yang bekerja di dalam kampus (bukan yang bekerja dari rumah) pada hari berkenaan.
Manakala, program pada 30 November pula berjaya mengumpulkan 84 pek darah daripada 84 penderma (64 pelajar dan 20 staf).
Wakil Pusat Sejahtera USM, Azima Hassan berkata, pihaknya mensasarkan pelajar USM untuk datang menderma darah bagi menyahut rayuan pihak HPP yang menghadapi masalah bekalan kekurangan darah yang kritikal di Unit Tabung Darah Jabatan Perubatan Transfusi HPP pada masa ini.
“Program ini juga terbuka kepada staf yang berkelapangan dan mempunyai hasrat untuk menderma darah bagi membantu pesakit yang memerlukan bekalan darah segera.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan dari penuntut dan staf sehingga dianjurkan dua kali,” kata Azima yang bertugas sebagai penyelia jururawat, ketika ditemui pada program itu.
Sementara itu, Penolong Pegawai Penerangan HPP, Mashitah Othman berkata, HPP memerlukan sekurang-kurangnya 100 pek darah sehari dan kesemua bekalan jenis darah berada dalam paras kritikal pada masa ini.
Katanya, beliau gembira melihat perkembangan kesedaran terutamanya pelajar dan staf USM yang sanggup datang menjayakan program seperti ini walaupun dalam keadaan COVID-19 ini.
“Kali terakhir HPP bekerjasama dengan USM ialah pada April lalu dan pihak kami berharap dapat menjayakan program seperti ini lagi pada masa hadapan,” katanya.
Wakil MPP USM, Nur Aliya pula berkata, MPP USM menggunakan sistem pendaftaran dalam talian dan jumlah pelajar yang datang melebihi dari apa yang disasarkan.
“MPP USM turut menggunakan medium hebahan melalui Facebook dan hebahan desasiswa ke desasiswa, dan syukur Alhamdulillah, ramai pelajar yang mendaftar untuk menderma,” katanya.
Bagi tiga penuntut yang ditemui selepas menderma darah, Tey Huey Shan, 25, Muhd Anip, 23, dan Vijaya Kumari, 21, tujuan mereka menderma adalah untuk membantu pesakit yang memerlukan bekalan darah yang berkurangan di hospital pada ketika itu.
Huey Shan yang juga pelajar Sarjana di Pusat Pengajian ilmu Pendidikan berkata, dia terpanggil untuk menderma selepas mendapat tahu bahawa bekalan darah pada paras kritikal sejak COVID-19 melanda negara ini.
Muhd Anip pelajar tahun 4, Pusat Pengajian Seni pula berkata, ini adalah kali kedua dia menderma darah dan berharap sumbangan kecilnya ini mampu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.
Bagi Vijaya, pelajar tahun 2, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, dia yakin dengan membantu golongan memerlukan akan memperoleh kebaikan pada diri dan kesihatannya serta akan terus menyertai program derma darah sekiranya dianjurkan lagi.
Proses menderma darah dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pelajar dan staf yang datang untuk menderma darah dikehendaki mematuhi penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka, penggunaan hand sanitizer serta saringan di pintu masuk dengan senarai semak kesihatan dan pemeriksaan suhu badan.
Teks: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop (pelajar intern MPRC)/Suntingan: Tan Ewe Hoe
- Created on .
- Hits: 630