USM-HUE METERAI KERJASAMA PERTUKARAN KEPAKARAN
PULAU PINANG, 22 Disember 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus memantapkan jalinan rangkaian antarabangsa apabila memeterai kerjasama pertukaran kepakaran bersama Henan University of Engineering (HUE), Xinzheng, China melalui majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) yang diadakan hari ini secara maya.
Kerjasama USM-HUE bakal memperlihatkan pelbagai pertukaran kepakaran diadakan kedua-dua pihak termasuk pelajar dan staf akademik, kerjasama program akademik, projek penyelidikan dan pembangunan, bengkel dan latihan bersama serta pertukaran penerbitan ilmiah.
Menurut Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan, kerjasama di peringkat antarabangsa sememangnya penting dalam agenda memantapkan kualiti pendidikan tinggi memandangkan banyak bidang mampu diterokai bersama bagi pembangunan institusi pendidikan kedua-dua buah negara.
“Saya bagi pihak USM amat berbesar hati dengan kerjasama ini dan mengharapkan kedua-dua pihak dapat memanfaatkan kolaborasi ini bagi tujuan meningkatkan apa juga kepakaran akademik mahupun penyelidikan yang dimiliki kedua-dua pihak selain dapat memahami kepelbagaian budaya di antara kedua-dua buah negara secara keseluruhannya,” kata Faisal Rafiq.
Jelas beliau lagi, pihak USM sentiasa bersedia menghulurkan bantuan yang berkaitan dan diperlukan oleh HUE termasuk juga pertukaran pelajar yang bersesuaian dengan kehendak semasa.
Pada majlis yang sama, Presiden HUE, Dr. Li Li Ying berkata, pihak HUE amat berterima kasih di atas kesudian USM berkolaborasi bagi berkongsi kepakaran dan pengalaman yang sedia ada bersama dengan pihak HUE dan sudah semestinya mengharapkan impak yang positif pada masa akan datang antara kedua-dua pihak.
“Saya berharap kerjasama di antara kedua-dua universiti bakal membuahkan hasil seperti yang dikehendaki, iaitu selain menjalinkan rangkaian akademik, kedua-dua institusi juga dapat memahami amalan dan budaya kedua-dua buah negara dengan lebih mendalam,” kata beliau lagi.
Majlis penandatanganan MoU ini telah diadakan secara dalam talian di Bilik Persidangan Canselori, Bangunan Canselori 1, USM yang turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Pengarah Pembangunan Korporat Strategik USM, Muhammad Sabri Said; dan Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor USM, Mohd Rashid Abdul Rejab.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 829