USM TERIMA RM80,000 BANGUNKAN PROJEK AGROPELANCONGAN
PULAU PINANG, 19 Disember 2020 – Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini menerima sejumlah RM80,000 untuk pembangunan Projek Agro Tourism sekaligus meningkatkan potensi penglibatan masyarakat setempat menceburi sektor agropelancongan yang semakin popular ini.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi YB Dato' Mansor Haji Othman menyampaikan replika cek berjumlah RM80,000 kepada Naib Canselor USM, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan yang menerimanya bagi pihak USM.
Menurut Mansor, projek ini memberi fokus kepada aktiviti ternakan, penghasilan tanaman herba dan pemprosesan baja organik yang bukan sahaja dapat menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan graduan B40 dan M40 malah turut membantu komuniti setempat.
Sesi penyampaian replika cek itu adalah sebahagian daripada pengisian Majlis Ramah Mesra Bersama Media Pulau Pinang anjuran Kelab Media Mutiara Pulau Pinang yang diadakan di Eastern & Oriental Hotel di sini hari ini.
Mansor turut mengucapkan terima kasih kepada Kelab Media Mutiara Pulau Pinang atas kerjasama dan sokongan dalam penganjuran sesi ini, terutama sekali kepada Imran Hilmy Tawfik Hilmy selaku Pengerusi Kelab.
"Ianya diadakan bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan dan persahabatan yang baik dan akrab bersama rakan-rakan media yang terjalin sebelum ini,” katanya.
Turut hadir ADUN Sungai Acheh, YB Zulkifli Ibrahim; Timbalan Naib Canselor Kelestarian & Pembangunan Institusi USM, Profesor Dr. Md. Roslan Hashim; Timbalan Pengarah Pusat Kajian Kelestarian Global (CGSS) USM merangkap Ketua Projek Agrotourism USM, Dr. Mohd Sayuti Hassan; Presiden Kelab Media Mutiara Pulau Pinang, Imran Hilmy Tawfik Hilmy; dan rakan-rakan media Pulau Pinang.
Teks: Nurul Huda Abdullah/Foto: Mohd Fairus Md Isa & Shahnizam Ab Rahim
- Created on .
- Hits: 674