PELAJAR DISARAN LIBATKAN DIRI DALAM KOKURIKULUM
PULAU PINANG, 2 Mei 2013 - Pelajar Universiti Sains Malaysia(USM) disaran sertai aktiviti kokurikulum dan menghayati tema Hari kokurikulum bagi sesi 2012/2013 baru-baru ini.
Tema pada kali ini adalah “Kokurikulum Pemangkin Kelestarian Sarwajagat” yang membawa maksud aktiviti kokurikulum mementingkan pencapaian kelestarian yang menyeluruh dan juga universal serta mampu mendukung kokurikulum sebagai wadah kelestarian masa hadapan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Y. Brs. Prof Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor, Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar.
“Para pelajar yang menyertai aktiviti kokurikulum diterapkan dengan pelbagai aktiviti termasuk dari segi insaniah, fizikal dan juga pemikiran kritis,” jelas Adnan.
Menurut beliau lagi, semua pelajar harus memiliki kriteria-kriteria tersebut bagi kegunaan pada masa hadapan di lapangan pekerjaan. Aktiviti kokurikulum juga dapat menjalinkan kerjasama dan hubungan persaudaraan yang lebih erat sesama pelajar dan juga jurulatih.
“Saya ingin sarankan kepada semua pelajar yang menyertai kokurikulum untuk menarik minat rakan-rakan yang lain untuk sama-sama menyumbang keringat dalam program-program yang dianjurkan samada di peringkat universiti ataupun desasiswa. Program sebegini bukan sahaja memberikan markah dalam MyCSD malah mendapatkan pendedahan dan manfaat yang baik untuk kegunaan masa hadapan.
Menurut Lim Zheng Yi, Pengarah Projek Hari Kokurikulum, program seperti ini membawa kepada transformasi positif dalam diri dan memberikan manfaat kepada mahasiswa/i. Kokurikulum juga membantu mahasiswa/i mempunyai identiti terbaik.
Turut hadir ialah Prof. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa dan Prof. Madya Dr. Ahmad Tajuddin Othman, Pengarah Pusat Rancangan Kokurikulum.
Selepas majlis perasmian, semua tetamu kenamaan melawat pameran badan beruniform dan kebudayaan. Hari Kokurikulum pasa sesi 2012/2013 diakhiri dengan Malam Persembahan Badan Beruniform dan Kebudayaan yang meliputi persembahan tarian tradisional, Gayung Tempur, koir dan juga kawad senyap.– Teks: Nor Rafizah Md Zain/Foto: Mohd Fairus Md Isa
- Created on .
- Hits: 1949