USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ECO-CNT INK: DAKWAT KONDUKTIF MESRA ALAM UNTUK LITAR ELEKTRONIK

PULAU PINANG, 11 Disember 2020 – Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral (PPKBSM) dan Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC), Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) berjaya menemukan kaedah terbaik menghasilkan dakwat konduktif mesra alam yang boleh digunakan secara meluas dalam aplikasi elektronik tercetak.  

Mereka terdiri daripada Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar@Mustapha (selaku ketua penyelidik), Profesor Madya Dr. Asrulnizam Abdul Manaf, Dr. Nurul Hidayah Ismail, Siti Fatimah Kamarudin, Najwa Ibrahim, dan Ye Zar Ni Htwe.

Menurut Mariatti, ECO-CNT INK adalah dakwat berasaskan air yang mempunyai unsur konduktif serta mesra alam dan sesuai digunakan untuk pencetak ‘inkjet’.   

Foto_inkjet.jpg

Katanya, produk ini adalah dakwat konduktif likat dalam bentuk pes dan ia digunakan bagi menghasilkan litar konduksi surih untuk substrat yang fleksibel. ECO-CNT INK memiliki sifat-sifat yang telah dihasilkan yang sesuai dengan aplikasi elektronik tercetak. 

“ECO-CNT INK dihasilkan menggunakan CNT partikel nano konduktif, air dan bahan campuran yang tidak beracun. Ia adalah produk hasil tempatan, berkos rendah serta mesra alam. ECO-CNT INK memiliki unsur kestabilan yang baik dan berperanan sebagai konduktif yang sesuai untuk digunakan di dalam aplikasi elektronik yang fleksibel,” ujarnya. 

Tambah beliau, penggunaan dakwat konduktif ini adalah selaras dengan perkembangan teknologi semasa yang memberi penyelesaian kepada penghasilan dakwat konvensional yang disifatkan tidak kos efektif dan tidak mesra alam kerana menggunakan bahan kimia bertoksik.

Antara aplikasi yang boleh dijadikan contoh termasuk kegunaan papan litar fleksibel yang memberikan paparan digital yang digunakan secara meluas dalam industri kesihatan (peralatan perubatan), automotif, telefon pintar dan sebagainya. 

Mariatti juga berkata, “Berbilion manusia di seluruh dunia menggunakan peranti mudah alih dan ia menghasilkan sisa buangan elektronik yang tinggi. Justeru, penghasilan produk cetakan fleksibel elektronik ini menjadi jawapan kepada isu-isu sedia ada khususnya yang melibatkan alam sekitar.” 

Menurutnya, selain mesra alam, produk ini turut berupaya meningkatkan fungsi kegunaan, mempunyai liputan rangkaian yang lebih luas dan paling penting ia menjimatkan kos.  

“Berdasarkan kajian, kos penghasilan untuk 100ml ECO-CNT INK hanyalah dalam anggaran USD75 berbanding produk sedia ada dalam pasaran yang mencecah USD150 sehingga USD1,388,” ujar beliau. 

Tambah beliau, inovasi ini juga dibangunkan dengan melihat potensi pasaran global yang dijangka menunjukkan peningkatan ketara dalam cetakan elektronik, begitu juga dengan produktiviti dakwat konduktif. 

“Ia turut memberi impak besar kepada pembangunan bidang industri termasuk dalam mewujudkan industri berteknologi tinggi, memperoleh keuntungan tinggi dalam teknologi pembuatan serta mewujudkan peluang pekerjaan,” ujar beliau lanjut. 

Inovasi ini juga telah memenangi pingat emas dalam pertandingan penyelidikan Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2020 (31st International Invention, Innovation and Technology Exhibition - ITEX 2020) yang berlangsung secara maya baru-baru ini. 

Teks: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 1205

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024