USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM HASILKAN MICROBUSTER, BUNUH 99% BAKTERIA PADA PRODUK PLASTIK

PULAU PINANG, 1Disember 2020 – Adakah kita sedar bahawa kesihatan kita terjejas hari demi hari ketika berada di rumah mahupun di pejabat berpunca daripada pertumbuhan bakteria berbahaya yang berada pada permukaan produk plastik di sekeliling kita?

Umum mengetahui bahawa semua produk plastik di pasaran seperti bekas makanan, plastik pembungkusan, produk penjagaan diri, peralatan bioperubatan, papan plastik pemotong ikan dan daging mahupun alat permainan kanak-kanak adalah diperbuat daripada bahan asasnya iaitu polimer.

POLYSAFE_TREATED_1.jpg

Secara tidak sedar juga, sebenarnya kita terdedah kepada bahan polimer tersebut dengan kadar 70 sehingga 80 peratus sehari, dan ini mampu meningkatkan kebolehjangkitan pelbagai jenis penyakit berbahaya apabila kita bersentuhan dengan bahan tersebut.

Atas sebab itu, sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) yang diketuai oleh Profesor Ir. Dr. Srimala Sreekantan dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral berjaya menghasilkan inovasi yang memberi impak besar kepada kehidupan seharian manusia, MICROBUSTER, iaitu sejenis bahan yang digabungkan bersama komposit polimer dengan kaedah fotokatalis ternari, mampu membunuh 99 peratus mikrob patogen (bakteria berbahaya) yang berada di permukaan plastik.

Produk inovasi ini dihasilkan oleh Srimala bersama rakan-rakan pasukannya yang terdiri daripada Norfatehah Basiron, Dr. Ong Ming Thong, Nur Ruzaina Abdul Rahman dan Dr. Rabiatul Basria S.M.N Mydin.

Menurut Srimala, permukaan plastik sebenarnya tanpa kita ketahui boleh menyebarkan pelbagai bakteria seperti E. coli, S. aureus, B. subtilis, S. flexneri, B. cereus dan K. pneumoniae yang terbukti mampu menyerang sistem tubuh badan manusia sehingga menyebabkan kematian.

“Menurut kajian yang telah dijalankan, nisbah 1 daripada setiap 6 manusia di dunia telah jatuh sakit akibat terdedah kepada permukaan yang tercemar, manakala kira-kira 420,000 orang melibatkan 125,000 orang kanak-kanak di bawah 5 tahun mati setiap tahun akibat terdedah kepada jangkitan bakteria dari produk plastik yang berasaskan bahan polimer,” katanya.

Tambah Srimala lagi, apa yang lebih mengejutkan adalah kos anggaran setiap tahun bagi rawatan perubatan, kehilangan produktiviti dan kematian yang berkaitan penyakit tersebut meningkat kepada USD55.5 bilion setahun manakala kos kerugian produk yang dipanggil semula akibat pencemaran mikrobiologi berbahaya mencecah USD99 juta.

Bercakap mengenai kos pembuatan, Srimala menegaskan bagi penghasilan MICROBUSTER ini yang digabung bersama polimer apabila diaplikasikan oleh industri luar, ia tidak mendatangkan kos yang mahal pada produk akhir, sekaligus ia mampu dimiliki oleh semua pengguna.

POLYSAFE_TREATED.jpg

“Cuma di sini saya ingin memberi kesedaran kepada pengguna akhir di luar supaya lebih cakna dengan kelebihan MICROBUSTER ini yang membantu menyelesaikan permasalahan penyakit berpunca dari polimer, dan semestinya ini memberi kelegaan kepada pengguna apabila mereka mengetahui produk plastik yang dibeli selepas ini mengandungi MICROBUSTER,” ujarnya.

Produk dinamakan ‘MICROBUSTER: A New Generation Antimicrobial Polymer Composites to Combat Multidrug-resistant (MDR) Pathogens’ ini telah memenangi pingat emas dan Anugerah Khas di International Invention, Innovation and Technology Exhibition (ITEX) 2020 yang diadakan baru-baru ini secara maya.

Selain itu, Srimala berkata, MICROBUSTER telah pun dipatenkan dan berpotensi untuk dipasarkan ke peringkat tempatan dan global.

“Nilai ukuran pasaran pada tahun 2020 dijangka berada pada USD25.5 bilion dan ramalan pendapatan yang boleh dimiliki pada tahun 2027 mampu mencecah sehingga USD44.1 bilion jika menembusi pasaran di Amerika Utara; Eropah; Asia Pasifik; Amerika Tengah dan Selatan; dan Timur Tengah dan Afrika,” jelasnya lagi.

Srimala turut mendapat tawaran daripada beberapa syarikat luar yang berminat menjalinkan usahasama, di antaranya Infotech Polymer System Sdn. Bhd. dan penyelidikan bersama dengan B. Braun Medical Industries Sdn. Bhd. melalui Memorandum Perjanjian (MoA) yang dimeterai.

Srimala berharap pihak kerajaan, akademia, industri dan masyarakat keseluruhannya lebih cakna untuk memahami, menilai dan mengiktiraf keberkesanan MICROBUSTER yang terbukti mampu memerangi patogen berbahaya pada produk polimer.

“Ini sekaligus dapat mengurangkan risiko kematian, kos rawatan dan perubatan di dunia serta turut membantu penjanaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) ke arah mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, seperti  yang disasarkan pihak kerajaan,” katanya.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar 

  • Created on .
  • Hits: 952

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024