DR. KHALIDAH, SUMBER INSPIRASI STAF KATEGORI B40 USAHA TERNAKAN IKAN KELI SECARA LESTARI
PULAU PINANG, 5 Disember 2020 – Siapa sangka hasil ilmu dan kepakaran dimiliki, selain mengajar di kuliah, beliau tidak lokek turun padang berkongsi dan membantu mereka yang memerlukan, dan akhirnya beliau berjaya melahirkan ‘usahawan USM’ dalam kalangan staf kategori B40 dalam ternakan ikan keli secara lestari.
Itulah Dr. Khalidah Abdul Hamid nama diberi, pensyarah dan penyelidik muda dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat Universiti Sains Malaysia (USM) yang sinonim di kampus dengan kepakarannya menternak ikan keli dan talapia secara lestari bagi membantu staf kategori B40 menguasai bidang terbabit.
Anak jati Sungai Nibong Pulau Pinang berumur 39 tahun ini telah berkhidmat di menara ilmu sejak tahun 2017 dan lebih membanggakan beliau adalah alumni USM dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Biologi Akuatik (2003), Sarjana Nutrisi Haiwan Akuatik (2009) dan seterusnya melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Kedoktoran (Ph.D) (2017) di Deakin University, Australia.
Dengan kepakaran beliau dalam bidang nutrisi ikan (aquaculture nutrition) telah banyak menyuntik semangat staf-staf B40 USM untuk mengubah taraf hidup mereka melalui ternakan ikan keli secara lestari, sekaligus menjadi sumber pendapatan tambahan.
Pusat Media dan Perhubungan Awam (MPRC) baru-baru ini berkesempatan menemubual Khalidah bagi mengetahui sedikit sebanyak perkongsian mengenai kepakaran beliau dan perkembangan semasanya dalam usaha membantu komuniti dan staf-staf USM kategori B40 ke arah menjadi usahawan ternakan ikan keli dan talapia di kampus.
Foto: Diambil di awal tahun 2020
Berikut adalah hasil temubual yang dapat dikongsikan bersama Khalidah yang banyak memberi inspirasi buat warga kampus ke arah meningkatkan taraf hidup dan ekonomi dalam penternakan haiwan akuatik tersebut.
Assalamualaikum W.B.T. Dr.Khalidah, terlebih dahulu, pihak MPRC amat menghargai dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Dr. di atas kesudian Dr. meluangkan sedikit masa untuk sesi temubual ini. Sudah berapa lama Dr. menceburkan diri dalam penyelidikan dan penternakan ikan keli secara lestari?
Waalaikumussalam W.B.T., sama-sama dan saya juga turut berterima kasih buat pihak MPRC kerana sudi memilih saya untuk sesi temubual berkenaan bidang yang sedang diusahakan kini.
Saya mula melibatkan diri dalam bidang penyelidikan haiwan akuatik semasa pengajian peringkat Sarjana di bawah seliaan Prof. Dr. Roshada Hashim yang pada waktu itu aktif menjalankan kursus ternakan ikan air tawar dan sealiran dengannya.
Sewaktu saya menjadi pelajar siswazah beliau, saya didedahkan dengan aktiviti-aktiviti ternakan air tawar dan di penghujung semester sebelum menamatkan Sarjana, beliau telah menawarkan perusahaan ternakan ikan keli, dan dari situlah pertama kali saya mengusahakan sendiri perniagaan penternakan ikan keli sebelum menyambungkan pengajian ke peringkat Ph.D.
Bermula dari itu juga, saya melihat potensi perusahaan ternakan ikan keli ini kerana sekitar tahun 2005 harga ikan keli masih murah, walaupun pada waktu tersebut kita telah menggunakan sistem kanvas yang dibangunkan oleh Prof. Dr. Roshada.
Boleh Dr. kongsikan teknologi atau inovasi yang dikatakan ternakan secara lestari bagi menghasilkan ikan keli yang berkualiti tinggi serta perbezaannyaberbanding dengan penternakan konvensional di luar?
Sebenarnya penjagaan ikan keli adalah lebih kepada pengurusan kerana kelebihan ikan keli ini ialah ia tidak memilih makanan.Manakala bagi ternakan di luar secara konvensional, mereka memberi apa sahaja makanan yang ada, yang kita sendiri pun tidak mengetahui sehingga melibatkan kualiti daging ikan itu tidak seperti yang diharapkan.
Jadi bagi ternakan keli lestari ini, saya dan pasukan staf lebih kepada mengatur pemakanan ikan.Kami masih bergantung kepada palet dan sebahagian makanannya digantikan dengan ‘Azola’ iaitu paku-pakis air yang mengandungi protein tinggi, yang merupakan 20 peratus daripada kandungan khasiat paku-pakis tersebut. Memandangkan paku-pakis ini juga adalah murah, ia amat sesuai membantu mengurangkan kos makanan.
Selain itu, apa yang ingin saya tekankan di sini adalah penjagaan bukan dilihat hanya kepada teknologi tinggi, tetapi sumber apa yang ada di sekeliling kita yang boleh digunapakai. Jadi dengan modal kecil pun kita boleh mulakan penternakan ini kerana penjagaan ikan keli adalah mudah dan yang perlu dipastikan ialah air sentiasa jernih dan bersih.
Jadi fungsi saya di sini adalah selain membantu para staf menjaga kualiti ikan tersebut, staf juga perlu mengetahui teknik penjagaan yang betul, cara memberi makan sehinggalah ke proses output supaya ikan keli yang dihasilkan adalah bersih, halal toyyiba, berkualiti tinggi dan yang penting harganya mampu dibeli oleh semua lapisan masyarakat.
Selain itu, saya juga sedang berkolaborasi dengan beberapa pensyarah mengenai teknologi penternakan udang galah, talapia dan belut sawah bagi membangunkan sistem yang lebih sesuai untuk petani dan penternak, yang akan ditambahbaik menjadi mampu milik buat golongan terkebawah.
Sehingga sekarang ini berapa orang staf di bawah bimbingan Dr. yang sedang mempelajari cara penternakan ikan keli secara lestari ini?
Buat masa ini seramai enam orang staf di Kampus Induk, lapan orang di Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal, Pulau Pinang dan tiga orang di Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan.
Adakah disediakan modul khas buat staf sebagai rujukan atau hanya melalui praktikal?
Modul telah berada pada fasa suntingan akhir yang saya sediakan bersama Prof. Dr. Roshada, jadi Insya-Allah dalam masa terdekat ini staf terlibat akan menerima modul berkenaan bagi kemudahan rujukan sepanjang mereka menjalankan ternakan di sini.
Untuk makluman juga, terdapat dalam kalangan staf yang telah berjinak dengan penternakan ikan keli secara konvensional, jadi ia lebih mudah untuk dibimbing kerana sistem yang saya terapkan ini lebih kepada sistem tangki, pemakanan yang lestari dan proses yang sistematik.
Boleh Dr. kongsikan peruntukan atau geran penyelidikan yang diperoleh untuk Dr. menyelidik kaedah terbaik bidang penternakan ikan keli ini?
Pada tahun pertama bertugas, saya bersyukur kerana mendapat suntikan modal dari Pusat Pemindahan Ilmu (KTP) USM di bawah Pengarahnya pada masa itu, Profesor Dr. Haslan Abu Hassan, bagi tujuan pengurusan dana penyelidikan.
Sejurus itu, saya turut mendapat mendapat perhatian Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat (BJIM) USM apabila diberikan geran bagi meneruskan kajian berkenaan haiwan akuatik ini. Alhamdulillah, saya dapat bergerak dengan mudah melalui bantuan kewangan tersebut.
Setahun selepas itu, BJIM di bawah kelolaan Tuan Syed Yusof Syed Kechik telah memberikan dana untuk pembuatan tangki penternakan, dan dari situlah tangki tersebut digunakan sehingga kini menjadi sebahagian kemudahan untuk projek staf B40.
Di sini juga, saya ingin mengambil peluang mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat USM, Profesor Dr. Amirul Al-Ashraf Abdullah dan barisan pengurusannya kerana menyokong aktiviti yang saya laksanakan ini.
Seterusnya saya mendapat suntikan dana dari KPI Pusat Pengajian, dan hasilnya ternakan keli dan talapia saya bersama Pusat Pengajian disedekahkan kepada staf dan asnaf pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal Mac lalu. Saya amat menghargai kerjasama Pusat Pengajian yang saya berkhidmat kini dan juga Bahagian Penyelidikan dan Inovasi USM di bawah pimpinan Profesor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed FASc., memandangkan dana tersebut adalah di bawah payung jabatan tesebut.
Terkini adalah dana yang diluluskan oleh Pejabat Naib Canselor, iaitu Naib Canselor sendiri, Profesor Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan yang ingin memperkasakan inisiatif membantu staf B40 dengan mengembangkan perniagaan mereka sebagai penternak ikan keli dan talapia yang berjaya. Terima kasih Naib Canselor!
Dari pemerhatian Dr., sejauh mana pencapaian staf sepanjang didikan Dr. sebagai mentor kepada mereka dalam bidang tersebut?
Alhamdulillah, saya bersyukur kerana mereka semua amat proaktif, bersabar dalam mempelajari cara ternak dan pantas menguasainya dalam tempoh yang diberikan. Sehingga ada yang sudah mula berani bergerak sendiri dengan ilmu yang diberi.
Jadi selepas ini, menjadi harapan saya jika ada pelanggan atau pembekal yang ingin membeli, bolehlah pihak USM membantu mempromosikan hasil ternakan mereka. Untuk makluman, terdapat pembekal luar yang telah mengetahui projek inisiatif USM ini, dan mereka menghubungi dan meminta sehingga 50 kilogram ikan seminggu, tetapi buat masa ini kita masih belum mampu mencapai tahap tersebut. Insya-Allah sedikit masa lagi saya yakin staf-staf tersebut mampu membekalkan jumlah berkenaan melalui persediaan yang lebih rapi.
Pendapat Dr. mengenai industri ternakan keli di Malaysia, boleh Dr. kongsikan sedikit dari segi khasiatnya; adakah industri ini boleh pergi lebih jauh, mungkin jualan di peringkat antarabangsa?
Ya, berdasarkan penyelidikan saya dalam industri ini, saya pasti ia boleh mencapai pasaran peringkat antarabangsa. Mengapa saya kata begitu adalah kerana ikan keli selain khasiatnya yang tinggi dari segi kandungan proteinnya, ia adalah ikan yang mampu dibeli oleh semua lapisan masyarakat.
Cuma masyarakat sering disogokkan dengan berita-berita kurang menarik mengenai ikan tersebut, yang dikatakan penternakan konvensional di luar sana menggunakan bahan makanan terlarang dan lain-lain lagi yang menyebabkan kita risau untuk memakannya.
Dari situlah juga membuat saya memberi tumpuan kepada ikan keli, kerana ia berkhasiat dan mampu dibeli semua lapisan masyarakat.
Perasaan Dr. apabila pihak universiti dan Naib Canselor sendiri mengangkat kepakaran Dr. untuk membantu usahawan B40 dalam kalangan staf USM.
Gembira, syukur, lebih bermotivasi dan lebih bertanggungjawab dengan apa yang saya usahakan ini kerana apa yang saya lakukan akan memberi impak kepada universiti secara keseluruhannya.
Saya turut berasa amat terharu dengan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak di USM berkongsi misi yang sama, hinggakan bidang akuakultur ini yang pada suatu ketika dahulu kelihatan suram, sekarang menampakkan kemajuan dan diberi perhatian. Syukur Alhamdulillah.
Perancangan Dr. di masa akan datang, memandangkan dijangkakan lebih ramai staf USM berkategori B40 berminat dan ingin mempelajari teknik ternakan ikan keli secara lestari?
Sebenarnya ini adalah fasa pertama dan ia berjalan dengan baik.Semestinya ada lagi fasa seterusnya yang sedang saya dan universiti usahakan untuk memajukan industri ternakan ikan air tawar.
Untuk fasa seterusnya,saya akan perkenalkan strategi yang digelar ‘intergrated farming’ yang lebih efisIen, iaitu dahulu kita hanya berfokuskan ikan keli sahaja, selepas ini kita gabungkan sistem ternakan ikan dan tanaman pada masa yang sama, iaitu penternak boleh dapat dua pendapatan dalam satu masa.
Selain itu, saya juga akan fokus kepada inovasi teknologi, iaitu sebelum ini saya banyak menumpukan pengurusan makanan dan sebagainya, kini saya akan lebih serius menggabungkan penyelidikan dengan komuniti projek berorientasikan nilai ekonomi.
Untuk makluman juga, saya sedang memohon geran untuk pembangunan golongan B40 dan komuniti luar seperti yang sedang dijalankan bersama komuniti Sungai Petani, Kedah; Kampung Selamat, Tasek Gelugor, Pulau Pinang dan Perlis.
Terima kasih Dr. di atas perkongsian ini yang cukup memberi inspirasi kepada komuniti dan staf yang ingin mengubah kehidupan mereka ke arah lebih baik. Soalan terakhir sebelum kita menutup sesi temubual, harapan Dr. bagi membantu golongan staf USM berkategori B40 ini agar mereka mampu berjaya dalam bidang keusahawanan ternakan ikan air tawar di masa hadapan.
Bagi saya sebagai seorang pembimbing, yang penting ialah staf yang dipilih oleh pihak universiti itu menunjukkan minat dan kesungguhan untuk menceburi perusahaan ini.Jika USM memberi mereka peluang sebegini dalam tempoh setahun, bagi saya agak sukar. Harapan saya, jika USM dapat meneruskan inisiatif ini untuk beberapa tahun lagi, saya yakin dalam tempoh dua tahun akan datang kita akan melihat mereka ini menjadi usahawan yang berjaya dan hebat.
Kedua, saya mengharapkan industri ternakan ikan keli lestari di USM mampu memasuki pasaran antarabangsa; cuma sekarang ini kita perlu berusaha menyelesaikan dahulu perkara asas dalam proses penternakan ikan keli ini terutamanya yang membabitkan SOP ternakan lestari. Atas sebab itulah saya ingin membantu kumpulan staf B40 untuk terus berusaha walaupun dengan skala yang kecil tetapi menjurus kepada kapasiti yang besar.
Apabila sudah mencapai jumlah hasil disasarkan, saya berharap mereka boleh berkolaborasi dengan industri perusahaan makanan di luar bagi melihat potensi produk untuk ditambah nilai, contohnya makanan dalam tin dan makanan proses ikan keli dan talapia. Tiada yang mustahil.
Akhir, sekali lagi saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada pucuk pimpinan di kesemua kampus terlibat terutamanya Naib Canselor, KTP, BJIM, Bahagian Penyelidikan dan Inovasi USM, Jabatan Pendaftar USM, Pusat Pengajian Sains Kajihayat, serta staf-staf terlibat dalam menjayakan projek ini. Jika saya bersendiri melaksanakan inisiatif ini tanpa kerjasama semua pihak, ia tentu tidak bermakna terutamanya dalam menjayakan agenda universiti membantu golongan yang memerlukan.
Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar
- Created on .
- Hits: 1979