USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERIMA BAP DARIPADA YAYASAN BANK RAKYAT

KUALA LUMPUR, 9 Disember 2020 - Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini merupakan antara 13 institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) yang terpilih untuk menerima Bantuan Awal Pengajian (BAP), hasil sumbangan Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Menerima bagi pihak USM ialah Bendaharinya, Kamarul Arifin Ngah yang hadir mewakili Naib Canselor USM di majlis yang diadakan di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat, di sini. Yang turut hadir ialah Timbalan Bendahari USM, Rafizal Abd Rahim.

WhatsApp_Image_2020-12-11_at_18.14.53.jpeg

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad di laman media sosialnya, penyaluran bantuan kepada IPTA dan IPTS itu merupakan inisiatif murni yang dapat membantu meringankan beban kewangan pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan, terutamanya yang dalam kalangan B40, dengan setiap pelajar akan menerima bantuan sekali bayar berjumlah RM1,000 setiap seorang.

“Di samping itu, bantuan ini juga dapat membuka peluang besar kepada pelajar baru menyambung pengajian dan sekurang-kurangnya dapat membantu sebelum mereka menerima mana-mana bantuan atau dana lain,” tambahnya.

Ujar Noraini lagi, sejak diperkenalkan tiga tahun lalu, seramai 5,309 pelajar telah mendapat manfaat daripada bantuan ini dengan jumlah penajaan sehingga RM6.24 juta.

“Besar harapan saya agar lebih banyak pihak tampil dan mencontohi jejak langkah Yayasan Bank Rakyat dalam menyantuni golongan yang memerlukan, khususnya masyarakat luar bandar,” katanya yang turut mengalu-alukan bantuan daripada keterlibatan sektor korporat, swasta dan syarikat berkepentingan kerajaan.

Bagi Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Nazir Hussain Akhtar Hussin, bantuan awal pengajian ini merupakan salah satu inisiatif untuk membantu pelajar baharu seiring dengan objektif Yayasan iaitu membantu meningkatkan tahap sosio ekonomi rakyat melalui pendidikan.

Program ini telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Dato’ Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menyifatkan inisiatif ini sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk membangunkan dan melahirkan lebih banyak modal insan di Malaysia dalam sektor tenaga mahir tempatan serta meningkatkan pendapatan rakyatnya.

WhatsApp_Image_2020-12-11_at_18.11.42.jpeg

USM beserta 12 lagi IPTA/IPTS menerima bantuan awal ini dan Yayasan Bank Rakyat telah memperuntukkan sejumlah RM3.1 juta untuk disalurkan kepada kira-kira 3,100 pelajar.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah/Foto: Facebook Menteri Pengajian Tinggi

  • Created on .
  • Hits: 1029

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024