USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROGRAM ‘KAMPri’ BERI TUMPUAN KEPADA AKTIVITI SUKARELAWAN DI MASA HADAPAN

PULAU PINANG, 25 November 2020 – Baru-baru ini, Universiti Sains Malaysia (USM) telah menyaksikan upacara pra-pelancaran program KAMI PRIHATIN (KAMPri) yang bertemakan "Coaching and Equipping Malaysia's Future Leader to Discover and Pursue Their Fullest Potential".

WhatsApp_Image_2020-12-04_at_15.15.40.jpeg

Program tersebut bertujuan memberi latihan kepada hampir 400 sukarelawan KAMPri yang turut serta.

Dalam ucapan perasmiannya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni USM, Profesor Dr. Aldrin Abdullah berkata ini adalah kali kedua penglibatannya dalam program ini, yang dikendalikan sepenuhnya oleh sekumpulan sukarelawan bertaraf dunia, serta berpengalaman luas dalam bidang latihan dan aktiviti kesukarelawanan.

WhatsApp_Image_2020-12-04_at_15.15.28.jpeg

Tambah beliau, jelas sekali pada tahun ini cabarannya adalah untuk menjalankan program tersebut secara dalam talian, termasuk juga sesi yang akan dikendalikan dalam siri seterusnya.

Beliau mengucapkan tahniah serta amat berterimakasih kepada semua yang terlibat dengan program tersebut.

“Saya berharap agar pelajar kita akan mengambil peluang ini untuk merealisasikan agenda HEBAT USM dalam konteks pembentukan peribadi dan kendiri, membentuk kemahiran berkomunikasi dengan jelas, bermakna dan bertaraf dunia serta mampu memperolehi pelbagai peluang untuk mengembangkan bakat mereka di mana jua mereka berada,“ tambah Aldrin lagi.

Program ini diadakan dalam usaha untuk lebih memajukan potensi pelajar di masa hadapan. Di antara kompetensi yang diperlukan di masa hadapan adalah kemampuan individu untuk memahami perhubungan antara-budaya serta kemahiran menyesuaikan diri dengan pelbagai komuniti di merata dunia, dalam mereka menghadapi cabaran selain mampu untuk lebih bersaing di peringkat global.  

Program ini, yang juga telah menerima sokongan dari sukarelawan industri, telah dilaksanakan sejak lima tahun yang lalu, dan telah menyediakan peluang untuk pelajar agar lebih memahami potensi diri masing-masing.

Universiti Sains Malaysia, sebagai satu-satunya Universiti APEX negara sentiasa menyokong usaha memajukan pelbagai aktiviti berkaitan kesukarelawanan, terutama yang melibatkan pelajar selain dari staf Universiti.

Ini seiringan dengan usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam memenuhi tuntutan Sustainable Development Goals (SDGs) ke arah mencapai masa depan global yang penuh kelestarian.

Hari Sukarelawan Antarabangsa 2020 disambut setiap tahun pada tarikh 5 Disember. Tema tahun ini adalah “Together We Can Through Volunteering”.

Sambutan ini diadakan di pelbagai peringkat di serata dunia (kemungkinan akan diadakan dalam talian tahun ini berikutan pandemik) sebagai salah satu aktiviti yang memenuhi hasrat mencapai kelestarian sejagat di masa hadapan.

Teks: Mohamad Abdullah/Foto & Infografik: Ahmad Fitri Ramli

  • Created on .
  • Hits: 1310

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024