PELAJAR USM UNGGULI PERTANDINGAN ESEI ANTARABANGSA
PULAU PINANG, 30 Apr.2013 – Pelajar tahun akhir Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan (PPPBP), Universiti Sains Malaysia (USM), Grace Aleaxander dinobat sebagai pemenang dalam The PAQS-Iwata Foundation Essay Competition 2013.
Kemenangan pelajar tersebut diumumkan dalam satu kenyataan oleh setiausaha Pacific Association of Quantity Surveyors (PAQS), John Granville kepada pensyarah PPPBP USM, Prof. Madya Azlan Raofuddin Nuruddin di sini baru-baru ini.
Kejayaan tersebut membolehkan Grace menghadiri Kongress Antarabangsa Tahunan PAQS yang dijadualkan berlangsung di Xi’an, China pada 18 hingga 21 Mei depan, dengan segala perbelanjaan seperti perjalanan, penginapan dan yuran pendaftaran dibiayai sepenuhnya oleh PAQS.
Menurut kenyataan dari PAQS juga, pemenang mendapat keistimewaan dijemput untuk mengikuti pre-congress PAQS Board meetings sebagai pemantau dan menyertai acara khas rasmi yang menghubungkan rangkaian sosial di antara negara-negara ahli PAQS.
Juri yang mengadili pertandingan antarabangsa yang mengkehendaki peserta menulis esei berkaitan pembangunan bidang Juruukur Bahan tidak kurang dari 1500 patah perkataan itu terdiri dari negara-negara seperti Australia, New Zealand, Jepun, Singapura dan sebagainya.
PAQS-Yayasan Iwata ditubuhkan dengan matlamat untuk mempromosikan profesion Juruukur Bahan, sekaligus meningkatkan pembangunan profesionalisme dalam kalangan juruukur bahan muda berkaliber di peringkat antarabangsa.
- Created on .
- Hits: 1710