USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DI TANGGA KE-34 TERBAIK ASIA

PULAU PINANG, 26 November 2020 - Universiti Sains Malaysia (USM) memperbaiki kedudukan ke tangga ke-34 terbaik di rantau Asia berbanding tangga ke-37 tahun lalu, seperti yang diumumkan dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings: Asia 2021 di sini semalam.

WhatsApp_Image_2020-11-25_at_21.40.53.jpeg

Kejayaan naik tiga anak tangga berkenaan turut membuktikan USM dapat mengekalkan prestasi terbaik dengan meningkatkan kedudukan secara progresif sejak tahun 2016 [dari #51 (2016) naik 17 anak tangga ke #34 (2021)].    

Dalam rankings itu juga, USM menunjukkan prestasi terbaik dalam indikator Jaringan Penyelidikan Antarabangsa serta Reputasi Majikan, menjadikannya Universiti kedua terbaik dalam negara daripada 35 institusi pengajian tinggi tempatan yang tersenarai.

Dalam pada itu juga, USM memperbaik kedudukannya kepada ranking #4 di Asia (berbanding #6 pada tahun 2020) bagi indikator Jaringan Penyelidikan Antarabangsa yang mengukur keterbukaan dan kecenderungan universiti dalam menjalin kolaborasi penyelidikan bersama rakan-rakan penyelidikan dari institusi lain di seluruh dunia.  

QS World University Rankings: Asia 2021 melibatkan 650 institusi pengajian tinggi meliputi 18 negara di seluruh Asia termasuk China, India, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Pakistan dan sebagainya.

Rankings berkenaan mengambil kira 11 indikator utama yang berkait secara langsung dengan prestasi universiti-universiti yang dinilai, antaranya pencapaian akademik, kebolehpasaran graduan, kualiti penyelidikan,  pengantarabangsaan dan diversiti kolaborasi antarabangsa Universiti.

Secara spesifik, indikator-indikator tersebut adalah Reputasi Akademik (berpemberat 30%), Reputasi Majikan (20%), Nisbah Pelajar kepada Fakulti (10%), Staf Berkelulusan PhD (5%), Sitasi per Makalah (10%), Makalah per Fakulti (5%), Jaringan Penyelidikan Antarabangsa (10%), Fakulti Antarabangsa (2.5%), Pelajar Antarabangsa (2.5%), Pelajar Mobiliti Inbound (2.5%) dan Pelajar Mobiliti Outbound (2.5%).  

Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato’ Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, USM mengambil pendekatan melihat rankings sebagai indikator mengukur prestasi secara berterusan.

“USM komited untuk mencapai visi dan misi Universiti dan sebarang maklumbalas oleh mana-mana pihak mengenai prestasi Universiti sentiasa dialu-alukan.

USM akan menganalis instrumen dan metodologi yang digunapakai untuk memperbaiki prestasi dan memenuhi jurang yang ada.

“Berprestasi baik dalam mana-mana rankings dan metric-based performance juga baik untuk meningkatkan motivasi pasukan, dalam konteks ini seluruh organisasi USM untuk memberi yang terbaik kepada kesemua pemegang taruhnya,” ujarnya.

Menurut Laporan QS yang dikeluarkan, Malaysia adalah antara negara yang menunjukkan peningkatan terbaik dalam penarafan kali ini apabila sepuluh universiti tempatan membabitkan tujuh universiti awam dan tiga universiti swasta buat julung kalinya tersenarai dalam kelompok 110 universiti terbaik Asia.

Turut dilaporkan, ini menunjukkan sistem pendidikan negara diterima sebagai bereputasi tinggi dalam kalangan akademik dan majikan di peringkat antarabangsa.  

Teks: Marziana Mohamed Alias & Tan Ewe Hoe/Infografik: Ebrahim Abdul Manan

  • Created on .
  • Hits: 1496

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024