USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEMENANGAN 100 PERATUS DI ITEX 2020, USM RANGKUL 7 EMAS, 3 PERAK DAN 2 ANUGERAH KHAS

itextahniah2

PULAU PINANG, 22 November 2020 – Berita gembira buat warga Universiti Sains Malaysia (USM) apabila sepuluh orang penyelidik berjaya mengharumkan nama USM dengan merangkul kemenangan 100 peratus menggondol 7 Pingat Emas, 3 Pingat Perak dan 2 Anugerah Khas di pertandingan penyelidikan Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2020 (31st International Invention, Innovation and Technology Exhibition - ITEX 2020).

Kemenangan ini mengulangi pencapaian tahun 2019 yang turut mengekalkan momentum kemenangan 100 peratus, apatah lagi peningkatan kualiti kemenangan kali ini yang majoritinya merangkul pingat emas dan pengiktirafan dua anugerah khas.

Menurut ketua delegasi yang juga Pengarah Pusat Inovasi dan Perundingan, USM, Profesor Ts. Dr. Hanafi Ismail, beliau sangat berpuas hati dengan prestasi kesemua peserta pada tahun ini walaupun pelbagai cabaran perlu ditempuh dalam keadaan pandemik Covid-19 ini.

“Sudah pasti penglibatan seluruh peserta dalam pertandingan berprestij ini cukup berbeza dengan tahun sebelumnya akibat pandemik yang melanda, iaitu para peserta perlu menyedia dan menghantar video bagi tujuan demonstrasi dan menerangkan inovasi yang dilaksanakan, dan ini cukup memberi cabaran kepada penyelidik kita untuk menyampaikan sebaik mungkin secara maya kepada juri dari segi pemahaman dan impak,” kata Hanafi.

Tambah beliau, kesemua video pembentangan penyelidik yang berjaya akan dipaparkan di ITEX Online sehingga bulan Mac 2021 bertujuan membuka peluang dan ruang kepada pemain industri untuk meneroka inovasi-inovasi yang boleh diketengahkan di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

Jelas Hanafi lagi, pra-penilaian telah dilaksanakan pada 12 sehingga 16 November lalu dan seterusnya penilaian akhir oleh juri telah dilaksanakan pada 20 November 2020 melalui video pembentangan penyelidik.

“Alhamdulillah, kali ini kemenangan mutlak 100 peratus menyebelahi kita dan ini menunjukkan potensi para penyelidik mahupun pelapis penyelidik yang ada di USM amat berkualiti dalam penghasilan inovasi-inovasi yang mampu memberi impak positif bertaraf dunia,” jelas beliau lagi.

Penganjuran ITEX 2020 kali ini diteruskan dengan pertandingan bercirikan norma baharu secara maya, tetapi ia tidak merencatkan penglibatan peserta di seluruh dunia apabila berjaya mendapat penyertaan lebih 21 buah universiti tempatan dan luar negara, 5 institut penyelidikan dan 1 badan korporat dari 15 buah negara.

Majlis pembukaan dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.

Berikut di bawah adalah senarai pemenang USM:

PINGAT EMAS

1.  Dr. Jong Hui Ying (Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan) - Psycholinguistics Software Tool

2.  Dr. Manmeet Kaur A/P Mahinderjit Singh (Pusat Pengajian Sains Komputer) - App-Sensors Mobile Data Collector (AMoDAC)

3.  Prof. Ir. Dr. Mariatti Jaafar (Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral) - Eco-CNT Ink

4.  Prof. Ir. Dr. Srimala Sreekantan (Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral) - Microbuster

5. Prof. Dr. Wan Faisham Nu'man Wan Ismail (Pusat Pengajian Sains Perubatan) - Mobile USM Custom Fit Wrist Brace

6.  Dr. Muhammad Hafiz Hanafi (Pusat Pengajian Sains Perubatan) - S-Lock

7.  Dr. Mohd Hazwan Hussin (Pusat Pengajian Sains Kimia) - Ligno-X2: An Oil Palm Biomass Based Industrial Coolant

PINGAT PERAK

1.  Prof. Madya Dr. Mohd Salman Abu Mansor (Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik) - i-Test CAD

2.  Dr. Zuraida Zainun (Pusat Pengajian Sains Kesihatan) - Bal Ex Quick Balance Skeleton Tracking

3. Dr. Mohd Sharizal Abdul Aziz (Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik) - i-Clever Smart Hand-Controlled for Disabled Driver

ANUGERAH KHAS

1.  Homedec - Prof. Ir. Dr. Srimala Sreekantan: Microbuster

2.  Best Women Invention - Dr. Muhammad Hafiz Hanafi: S-Lock

Pameran bertaraf antarabangsa anjuran MINDS (Malaysian Invention and Design Society) ini merupakan satu perhimpunan pencipta tempatan dan antarabangsa serta para saintis dari bidang sains dan teknologi yang membawa bersama ciptaan terkini dan inovasi oleh universiti, institusi penyelidikan, pencipta individu dan syarikat-syarikat dari negara-negara ASEAN, Asia dan Eropah.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar 

  • Created on .
  • Hits: 1310

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024